Untung Dayang diunjur naik kesan syarat kontrak lebih baik, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Dayang diunjur naik kesan syarat kontrak lebih baik, kata Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 April - Dayang Enterprise Holdings Berhad diunjur mencatatkan keuntungan baik berterusan susulan terma kontrak dijamin dalam aktiviti penyelenggaraan huluan serta jangkaan pengembangan dalam margin projek, menurut Kenangan Research.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat minyak dan gas (O&G) itu berpotensi positif termasuk kunci kira-kira tunai bersih yang membolehkan banyak kemajuan bahagian marinnya akan mendapat manfaat daripada ledakan kitaran naik sokongan luar pesisir.
 

Dayang menerusi unit milik penuhnya, DESB Marine Services Sdn Bhd minggu lalu sudah memperoleh dua kontrak untuk penyediaan bot kerja penginapan daripada Hibiscus Petroleum Berhad melalui anak syarikatnya, Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd (HML) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd.
 

“Kami menganggarkan kadar sewa harian konservatif (DCR) sebanyak RM80,000, sama seperti tiga sewaan yang diperoleh Dayang pada 24 Mac 2025," kata Kenanga dalam satu nota kajiannya.
 

Ia merujuk makluman Dayang kepada Bursa Malaysia yang menyatakan kontrak HML adalah untuk tempoh 30 hari, dengan dua pilihan lanjutan sehingga 30 hari setiap satu manakala kontrak SEA Hibiscus pula adalah selama 110 hari, serta pilihan lanjutan yang sama.
 

Perkembangan itu kata firma tersebut, selaras dengan andaian sedia ada mengenai penggunaan kapal sebanyak 82 peratus dan purata DCR sebanyak RM81,000 untuk bot kerja penginapan bagi keseluruhan armada syarikat berkenaan.
 

"Ini menjadikan jumlah kemenangan kumpulan itu kepada empat bot kerja penginapan sejak awal 2025, petunjuk permintaan kukuh bagi kapal penyelenggaraan walaupun menghadapi masalah ekoran isu Petronas dengan Petros," katanya.
 

Kenanga berkata, ia mengekalkan harga sasaran RM3.39 sesaham disandarkan kepada nisbah pendapatan harga (PE) 13 kali tidak berubah yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25), iaitu sebanyak 12 kali ganda berbanding syarikat setaranya.
 

Harga saham Dayang adalah pada RM1.97 menerusi tinjauan yang terakhir.
 

Kenanga memberitahu pelanggan bahawa risiko terhadap saranannya termasuk penurunan ketara harga minyak mentah Brent, masa henti kapal yang tidak dijangka akibat penyelenggaraan, dan penurunan perbelanjaan modal pengeluar minyak.
 

Dayang melaporkan penurunan 82.1 peratus dalam keuntungan bersihnya bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024, disebabkan oleh faktor kerugian pertukaran mata wang asing dan ketiadaan pembalikan kerugian rosot nilai.
 

Keuntungan bersih bagi tempoh itu turun kepada RM16.81 juta berbanding RM93.79 juta setahun sebelumnya. Dividen akhir sebanyak tujuh sen sesaham telah diisytiharkan dan dibayar pada 17 Mac 2025. - DagangNews.com