Untung bersih WCT Holdings susut kepada RM27.3 juta pada 1HFY25, disebabkan margin semakin kecil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih WCT Holdings susut kepada RM27.3 juta pada 1HFY25, disebabkan margin semakin kecil

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Ogos – WCT Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM27.3 juta bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM47.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.


Kumpulan berkenaan menambah, penyusutan keuntungan pada tiga bulan tersebut disebabkan margin bagi beberapa projek pembinaan utama didapati semakin mengecil apabila menghampiri proses penyempurnaan.


Pendapatan kumpulan namun naik 21% kepada RM1.02 bilion pada 1HFY25, berbanding RM843.7 juta pada 1HFY24, dipacu pertumbuhan konsisten segmen pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.


"Segmen pembangunan hartanah muncul menjadi penyumbang terbesar prestasi kumpulan, mencatatkan pendapatan RM416.7 juta dan untung operasi sebanyak RM75.8 juta," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Ia melonjak ketara berbanding RM244.5 juta dan RM24.0 juta masing-masing dalam 1HFY24, didorong jualan dan bil penyerahan lebih tinggi, dengan jualan belum dibil ialah RM1.04 bilion setakat ini.


Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lee Tuck Fook, projek utama seperti The Maple Residences, Pavilion Mon’t Kiara, dan Adison Serviced Apartments terus menerima sambutan baik daripada pembeli.


“Kami juga melancarkan Aras Residences di WCity OUG, kediaman pegangan bebas dengan Sijil Sementara GreenRE Silver, mencerminkan komitmen pembangunan mampan dan gaya hidup mesra alam,” kata beliau.


Sementara segmen kejuruteraan dan pembinaan pula tambah beliau, menyumbang sebanyak RM472.5 juta kepada pendapatan kumpulan berkenaan, hampir menyamai kira-kira RM473.1 juta dalam 1HFY24. 


Bagaimanapun kata Tuck Foo, keuntungan operasi menurun kepada RM9.2 juta berbanding RM42.5 juta pada tahun lalu disebabkan pengurangan margin keuntungan daripada projek yang hampir siap.


Walaupun prestasi sederhana, segmen ini mengukuhkan buku tempahan menerusi kontrak baharu bernilai RM365.22 juta daripada Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) bagi menaik taraf Fasa 2 di Johor.


Dalam pada itu, segmen pelaburan dan pengurusan hartanah melaporkan hasil RM135.6 juta dan untung operasi RM57.4 juta, berbanding RM126.1 juta dan RM64.2 juta masing-masing pada tahun sebelumnya.


Pertumbuhan ini tambah Tuck Fook, disumbangkan oleh prestasi yang memberangsangkan dalam unit hotel serta operasi berkaitan penerbangan dengan kumpulan secara umumnya adalah kekal berdaya tahan.


"Ini termasuk dengan sokongan berterusan daripada ketiga-tiga segmen teras, mencerminkan asas perniagaan yang lebih kukuh walaupun dalam persekitaran ekonomi tidak menentu pula,” kata beliau lagi.


WCT terus menunjukkan momentum positif pada 1HFY25, menandakan hala tuju yang stabil untuk pertumbuhan masa depan meskipun persekitaran margin pembinaan semakin mencabar. - DagangNews.com