Untung bersih VSTECS naik 32% kepada RM20.2 juta pada 2QFY25 dipacu prestasi kukuh semua segmen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih VSTECS naik 32% kepada RM20.2 juta pada 2QFY25 dipacu prestasi kukuh semua segmen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Ogos — VSTECS Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 32 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM20.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25).

 

Kumpulan perusahaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) tempatan tersebut berkata, perbandingan bagi tempoh yang sama setahun sebelumnya, ia hanya merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM15.2 juta.

 

Lonjakan tinggi berkenaan tambah syarikat tersebut, didorong terutamanya oleh faktor perkembangan prestasi yang cukup kukuh disumbangkan merentas kesemua segmen perniagaan dalam kumpulan itu.

 

"Pendapatan juga naik 31 peratus kepada RM818.9 juta, dengan pertumbuhan dua angka dicatatkan daripada Pengedaran ICT, Sistem Perusahaan dan Perkhidmatan ICT," maklumnya kepada Bursa Malaysia.

 

Tambah VSTECS, segmen Pengedaran ICT bertambah sebanyak 30 peratus pada kitaran penggantian peranti yang mantap dan permintaan tinggi untuk peranti dengan didayakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Sementara Sistem Perusahaan meningkat 32 peratus dipacu momentum banyak projek sektor awam, manakala hasil Perkhidmatan ICT meningkat 30 peratus disokong permintaan berterusan rumusan awan.

 

Katanya lagi, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025, pendapatan kumpulan itu meningkat 22 peratus kepada RM1.51 bilion, manakala keuntungan bersih meningkat 28 peratus kepada RM37.9 juta.

 

"Secara keseluruhan, syarikat ini berjaya mengakhiri tempoh sepanjang enam bulan pertama tersebut dengan mampu mencatatkan aliran kedudukan tunai bersih sebanyak RM84.4 juta," kata VSTECS.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, JH Soong menerusi kenyataan syarikat berkata, kumpulan tersebut berada pada kedudukan baik untuk meraih pertumbuhan selanjutnya pada separuh kedua 2025.

 

Perkembangan positif berkenaan tambah beliau, berdasarkan situasi kemajuan syarikat yang disokong oleh pelancaran pelbagai produk akan datang, projek kerajaan dan penawaran model AI baharu.

 

"Daripada keterlihatan semasa kumpulan ini, kami melihat suasana momentum yang dianggap luar biasa untuk VSTECS sepanjang tahun ini dengan begitu baik," katanya. - DagangNews.com