Untung bersih Velesto pada 1QFY25 meningkat 12% dirangsang kadar sewa tinggi penggunaan pelantar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Velesto pada 1QFY25 meningkat 12% dirangsang kadar sewa tinggi penggunaan pelantar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mei — Velesto Energy Berhad melaporkan peningkatan keuntungan bersih melepasi 12 peratus bagi suku pertama 2025, dirangsang oleh purata kadar sewa harian lebih tinggi dan membantu mengimbangi penggunaan pelantar yang rendah.


Kumpulan perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, ia meningkat kepada RM52.6 juta berbanding RM46.8 juta setahun sebelumnya, walaupun mencatatkan penurunan hasil sebanyak 33 peratus kepada RM224.6 juta.


Hasil penyumbang utama, segmen perkhidmatan penggerudian, merosot 34 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM221.1 juta daripada RM335.6 juta, terutamanya disebabkan penurunan penggunaan pelantar jack-up kepada 67 peratus berbanding 94 peratus.


"Penyusutan itu turut berpunca daripada ketiadaan sumbangan menerusi projek pelantar bersepadu, penggerudian dan penyiapan (i-RDC) yang telah siap," kata syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh purata kadar sewa harian yang lebih tinggi sebanyak AS$127,000 (RM537,337) sehari pada suku semasa, berbanding AS$107,000 sehari dalam tempoh yang sama tahun lepas.


Tiada dividen diumumkan untuk tempoh suku tersebut.


Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, keputusan yang dicatatkan pada 1QFY25 menunjukkan daya tahan syarikat itu dan kawalan kos yang baik walaupun menghadapi cabaran pasaran. 


Beliau berkata, peningkatan aktiviti luar pesisir di rantau Asia Tenggara, disokong beberapa kemenangan kontrak baru-baru ini di Vietnam dan Indonesia.


Tambahnya, kerja-kerja penyelenggaraan di pelantar Naga 8 dan Naga 3 bergerak mengikut jadual, dengan Naga 8 dijangka mula beroperasi di Indonesia menjelang suku ketiga 2025.


"Sehingga April 2025, buku tempahan Velesto telah meningkat dua kali ganda kepada RM1.4 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2028," kata Megat Zariman. - DagangNews.com