Untung bersih UMediC susut 8% akibat kelemahan segmen pembuatan, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih UMediC susut 8% akibat kelemahan segmen pembuatan, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 DisUMediC Group Berhad memasuki suku pertama tahun kewangan 2026 dengan prestasi lemah apabila untung bersih mencatatkan RM2 juta, susut 8% tahun ke tahun (YoY).


Bagaimanapun menurut Phillip Capital, ia masih sejajar dengan jangkaannya dan firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' tetapi menaikkan harga sasaran 12 bulan kepada 51 sen daripada 45 sen.


Katanya, unjuran berkenaan selepas ia melanjutkan asas penilaian ke FY27 dan mengambil kira yang syarikat itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM14 juta pada 1QFY26, meningkat kira-kira 9% YoY.


"Segmen pengedaran melonjak 24% YoY, disokong permintaan lebih tinggi daripada hospital awam, swasta dan penyedia perkhidmatan kesihatan," kata firma tersebut dalam nota kajiannya hari ini.


Pertumbuhan positif itu namun diimbangi oleh kemerosotan 20% YoY dalam segmen pembuatan, dan secara keseluruhan keuntungan bersih teras UMediC berjaya memenuhi 21% unjuran Phillip Capital.


Secara suku ke suku (QoQ) pula kata firma berkenaan, pendapatan kumpulan itu naik 15%, dipacu oleh segmen pengedaran yang meningkat 41%, tetapi ditekan oleh penurunan 24% dalam segmen pembuatan.


Margin perolehan kasar didapati merosot 11.4 mata peratusan kepada 23.1% akibat kos operasi lebih tinggi, namun rancangan perluasan kapasiti oleh syarikat berkenaan adalah kekal mengikut jadual.


"Usaha ini akan menaikkan kapasiti penuh 12 juta unit setahun disasarkan pada suku pertama 2026 dan kami menjangka keuntungan bersih teras bertambah baik pada 2HFY26," kata Phillip Capital.


Perkembangan berkenaan disokong oleh kadar penggunaan lebih tinggi serta sistem suntikan baharu yang berasaskan teknologi terbaharu dan dijangka mengurangkan kos pensterilan produk dihasilkan.


Firma itu menambah, harga sasaran dinaikkan bagi mencerminkan momentum pertumbuhan pendapatan yang perlahan, tetapi ia kekal positif terhadap UMediC berikutan trajektori pertumbuhan adalah kukuh.


Ini termasuk segmen pembuatan melalui penggandaan kapasiti dan permintaan global yang teguh, dan barisan produk baharu yang semakin baik untuk mempelbagaikan aliran hasil jangka panjang syarikat.


"Kami turut menilai sahamnya sebagai masih menarik, apabila diniagakan pada paras kurang daripada purata tiga tahun, namun memberi amaran risiko menurun yang kemungkinan boleh berlaku," katanya.


Antaranya jelas Phillip Capital, termasuk faktor kelembapan permintaan peralatan perubatan, gangguan operasi syarikat itu sendiri dan kehilangan lesen. - DagangNews.com