KUALA LUMPUR 24 Nov – Tune Protect Group Berhad mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat lebih dua kali ganda bagi 9M25, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Perkembangan tersebut turut menandakan suku kelima berturut-turut kumpulan berkenaan berjaya mencatat keuntungan bersih serta kedudukan keputusan bersih perkhidmatan insurans.
Prestasi ini juga jelas syarikat tersebut, disokong terutamanya oleh momentum segmen pelancongan yang kukuh serta strategi kepelbagaian sumber pendapatan yang dilaksanakan.
"Dalam tempoh 3Q25, premium kasar pelancongan (GWP) naik 36.4% tahun ke tahun (YoY) manakala 9M25 meningkat 31.8%, dan bertambah kepada 46% daripada keseluruhan portfolio," katanya.
Sementara itu, pendapatan sampingan dan yuran teknologi meningkat empat kali ganda sejak 1Q25, mencapai RM13.18 juta, selari dengan usaha kumpulan memperluas aliran pendapatan di luar insurans.
Mengulas keputusan suku ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, How Kim Lian berkata, prestasi syarikat itu disokong oleh peningkatan kecekapan pengurusan tuntutan dan kos operasi.
Di samping itu, pertumbuhan kukuh dalam segmen pelancongan, walaupun pendapatan insurans suku ini menurun berikutan fokus kepada segmen yang lebih berkualiti dan bermargin tinggi.
"Kami yakin pertumbuhan pendapatan jangka panjang akan kembali seiring dengan momentum segmen pelancongan dan kepelbagaian aliran pendapatan,” tambah beliau dalam kenyataan itu.

Keputusan bersih perkhidmatan insurans meningkat 55.7% YoY pada 3Q25 hasil pengurusan tuntutan yang lebih efisien dan pengalaman tuntutan kenderaan serta kebakaran yang lebih baik.
Nisbah gabungan juga jelas Tune Protect, bertambah baik, menurun 4.9% YoY, dengan PAT bagi 9M25 melepasi 100% YoY disebabkan penurunan perbelanjaan lain dan inisiatif pengoptimuman kos.
Jajaran strategik Tune Protect menumpukan pada tiga teras iaitu perniagaan insurans am dalam negara, pengembangan perniagaan serantau melalui pelancongan dan pendapatan di luar insurans.
"Syarikat meluaskan jejak insurans pelancongan dengan 380 ejen baharu di Malaysia, memperluas pelan 'inbound' ke 20 pasaran Asia, dan memperkenalkan manfaat Fly-Thru bagi penumpang AirAsia," katanya.
Kumpulan ini menjangkakan pertumbuhan positif yang berterusan, disokong oleh pelbagai rancangan pengembangan penerbangan dan peningkatan permintaan pelancongan di seluruh Asia.
Selain itu, pendapatan sampingan dijangka mengekalkan momentum kuat, dengan integrasi lebih baik dalam ekosistem perjalanan, termasuk eSIM, rumusan bagasi dan perkhidmatan premium.
Tune Protect optimis dapat memenuhi permintaan perlindungan dan rumusan pelancongan yang meningkat, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan fokus lebih baik. - DagangNews.com








