KUALA LUMPUR 21 April – TSH Resources Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 35.2% kepada sebanyak RM183.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Prestasi yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh sumbangan keuntungan yang lebih kukuh daripada segmen produk sawit, selain dibantu pengurangan kos kewangan dan perbelanjaan korporat.
Menurut kumpulan perladangan tersebut, jumlah perolehan dicatatkan sebanyak RM1.06 bilion bagi FY2025, meningkat daripada hanya RM1.02 bilion yang pernah dilaporkan pada tahun kewangan 2024.
"Prestasi keuntungan segmen sawit melonjak 40% kepada RM325.8 juta hasil peningkatan harga jualan dan kedudukan operasi yang lebih baik," kata TSH Resources dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu ujarnya, harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah (MSM) meningkat kepada RM3,829 setiap tan metrik, manakala isirung sawit (PK) bertambah ketara kepada RM3,199 bagi satu tan metrik.
Kadar perahan minyak (OER) juga bertambah baik kepada 20.24% berbanding 19.83% pada FY24, hasil daripada kecekapan pengurusan kehilangan minyak yang lebih ketat dan pengoptimuman proses operasi.
Berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, Lembaga Pengarah TSH Resources mengisytiharkan pembayaran dividen tunggal pertama dan akhir kepada pemegang saham sebanyak 5.0 sen sesaham.
"Walaupun berhadapan dengan tekanan kos inflasi dalam aspek buruh dan baja, syarikat ini berjaya mengimbangi impak tersebut melalui inisiatif pengoptimuman kos dan keuntungan kecekapan," katanya.
Melangkah ke hadapan, pengurusan kekal yakin terhadap prospek industri minyak sawit bagi tahun 2026 dengan sasaran mencapai hasil minyak melebihi 5 tan sehektar dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








