Untung bersih Texchem bagi FY25 susut kepada RM3.4 juta disebabkan kos bahan mentah tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Texchem bagi FY25 susut kepada RM3.4 juta disebabkan kos bahan mentah tinggi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 MacTexchem Resources Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada sebanyak RM3.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).


Ia susut berbanding RM6.7 juta pada tahun kewangan sebelumnya, disebabkan terutama oleh peningkatan kos bahan mentah dan situasi pendaratan bahan mentah yang lebih rendah dalam Bahagian Makanan


Selain itu jelas kumpulan tersebut, persaingan harga yang sengit daripada pengeluar berpangkalan di China yang menjejaskan Bahagian Perindustrian, turut mempengaruhi keuntungan secara keseluruhan.


"Sepanjang tahun di bawah tinjauan, kami mencatatkan hasil sebanyak RM1.11 bilion, menunjukkan penurunan marginal berbanding RM1.12 bilion pada FY24," maklum Texchem kepada Bursa Malaysia.


Bagaimanapun tambahnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan tersebut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan kepada RM20.5 juta berbanding kira-kira RM14.8 juta pada tahun sebelumnya. 


Peningkatan ini didorong oleh prestasi luar biasa Bahagian Kejuruteraan Polimer yang mencatatkan hasil tertinggi sebanyak RM250.1 juta, serta kejayaan usaha pemulihan semula Bahagian Restoran.

 

Texchem_DagangNews


Ia meraih PBT sebanyak RM5.0 juta berbanding kerugian RM0.5 juta pada FY2024, hasil daripada momentum jualan Sushi King Malaysia yang kukuh dan langkah pengoptimuman kos secara berkesan.


Mengulas mengenai prestasi tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr Yuma Konishi berkata, kumpulan tetap berdaya tahan dengan memanfaatkan portfolio perniagaan yang pelbagai.


"Melangkah ke hadapan, Bahagian Kejuruteraan Polimer dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan rantaian bekalan dipacu data Kecerdasan Buatan (AI) serta segmen perubatan dan biologi," katanya.


Jelas beliau, kumpulan masih berupaya mengekalkan kedudukan tunai sihat berjumlah RM94.6 juta setakat 31 Disember 2025, semasa ketidaktentuan perdagangan global dan gangguan rantaian bekalan.


Lembaga Pengarah Texchem namun tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi tahun kewangan di bawah tinjauan bagi membolehkan kumpulan mengekalkan fleksibiliti modal strategik. - DagangNews.com