KUALA LUMPUR 12 Mei – Tex Cycle Technology (M) Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 34% kepada RM21.9 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Jelasnya, peningkatan positif ini didorong terutamanya oleh faktor sumbangan pendapatan daripada Meridian World Sdn Bhd, yang kini menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan sejak Ogos 2025.
Selain itu menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, keuntungan besar tersebut turut diraih daripada pembelian murah yang berjumlah RM14.5 juta hasil daripada pengambilalihan berkenaan.
"Tex Cycle turut mencapai jumlah pendapatan mencecah sebanyak RM57.7 juta bagi FY25, mewakili pertumbuhan kukuh kira-kira 59.3% berbanding RM36.2 juta yang dicatatkan pada FY24," tambahnya.
Keuntungan kumpulan berkenaan ujarnya, turut disokong oleh keuntungan nilai saksama ke atas sekuriti sebut harga berjumlah RM1.2 juta dan keuntungan pelupusan sekuriti sebanyak RM8.4 juta.
Segmen pengurusan sisa terjadual kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM47.5 juta, iaitu 82% daripada jumlah keseluruhan, naik 63% didorong pertumbuhan organik dan sumbangan Meridian.
Sementara segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) menyumbang RM7.3 juta, meningkat 18%, disokong oleh projek solar dan dijangka naik susulan pentauliahan komersial loji jana kuasa di Pelabuhan Klang.
"Kumpulan ini turut merekodkan pendapatan tambahan sebanyak RM6.7 juta daripada pembalikan jumlah simpanan dipegang untuk jaminan prestasi Meridian World yang tidak dicapai," kata Tex Cycle lagi.
Sebagai sebahagian strategi pertumbuhan, ia mencadangkan memindahkan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, yang bakal meningkatkan lagi profil korporat syarikat.
Langkah itu berpotensi menarik pangkalan pelabur institusi yang lebih luas, di samping membangunkan kemudahan pengurusan sisa terjadual bersepadu pertama di Sabah dengan nilai pelaburan RM100 juta.
Projek usaha sama (JV) Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd itu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga atau keempat tahun depan.
"Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan aset berjumlah RM297.1 juta, Tex Cycle kini yakin berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju ekonomi kitaran di rantau Asia Tenggara," jelasnya.
Perkembangan tersebut katanya, bakal dilaksanakan kumpulan itu melalui kepelbagaian aktiviti dalam segmen e-sisa, rawatan sisa minyak dan gas (O&G), serta tenaga hijau. - DagangNews.com








