Untung bersih Teo Seng berisiko jatuh 65% pada FY26 disebabkan tiada subsidi telur - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Teo Seng berisiko jatuh 65% pada FY26 disebabkan tiada subsidi telur - Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 NovMercury Securities menjangkakan keuntungan bersih Teo Seng Capital Berhad susut sehingga 65% pada tahun kewangan 2026, susulan penghapusan subsidi harga telur.


Firma penyelidikan tersebut berkata, sebelum ini bantuan daripada kerajaan itu banyak membantu syarikat penternakan berpangkalan di Yong Peng, Johor itu dalam menampan kos pengeluaran yang tinggi. 


Bagaimanapun, ia menilai kumpulan tersebut masih ada asas operasi yang kukuh dan keupayaan mengekalkan daya tahan jangka panjang melalui integrasi rantaian nilai serta pelan diversifikasi hiliran.


"Kami memulakan liputan dengan saranan 'pegang' dan harga sasaran 93 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 12 kali unjuran FY26," kata Mercury Securities dalam notanya hari ini.


Penilaian ini mencerminkan kedudukan pasaran kukuh Teo Seng dalam industri penternakan ayam telur tempatan, namun diimbangi risiko penurunan margin dan ketidaktentuan harga jualan purata (ASP).


Walaupun kehilangan subsidi memberi tekanan ke atas keuntungan, permintaan domestik terhadap telur kekal kukuh, disokong oleh faktor tahap kemampuan pengguna dan keperluan tinggi protein harian.


Bagi separuh pertama 2025 kata Mercury Securities, jualan meningkat 7.4% tahun ke tahun kepada 846 juta biji telur, menunjukkan kestabilan asas perniagaan meskipun berdepan penormalan harga.


"Kos makanan ternakan iaitu komponen utama menyumbang 75% daripada kos pengeluaran, turun daripada paras puncak pada 1QFY24, ekoran kejatuhan kos logistik dan pengukuhan nilai ringgit," katanya.


Perkembangan positif itu jelas firma penyelidikan tersebut, dijangka menyokong proses pemulihan margin operasi kumpulan sepanjang tahun ini, sebelum penyesuaian keuntungan berlaku pada 2026.


Teo Seng mengendalikan operasi secara bersepadu sepenuhnya meliputi pengilangan makanan ternakan, ladang ayam telur sistem All-In-All-Out (AIAO) dan pembuatan dulang telur jenis kertas kitar semula.


Syarikat yang ditubuhkan ada 1978 sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2005 itu, turut aktif dalam pemprosesan baja organik, yang meningkatkan kecekapan kos dan biosekuriti kumpulan tersebut.


"Ia juga giat memasuki segmen hiliran bernilai tambah, yang dijangka dilancarkan pada FY26, selain perancangan eksport ke Jepun dan Timur Tengah menjelang 1HFY26," kata Mercury Securities.


Sepanjang FY19 hingga FY24, Teo Seng mencatat pertumbuhan hasil tahunan 6.6%, namun keuntungan dijangka jatuh mendadak 29% pada FY25 susulan penamatan subsidi. - DagangNews.com