Untung bersih Solarvest pada 1QFY26 atasi jangkaan, prestasi disokong projek hijau – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Solarvest pada 1QFY26 atasi jangkaan, prestasi disokong projek hijau – HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 SeptSolarvest Holdings Berhad baru-baru ini berjaya mencatat keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1QFY26) yang melebihi jangkaan pasaran.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, situasi berkenaan disokong oleh prestasi kukuh dalam pelaksanaan pelbagai projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).


Syarikat melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM16.9 juta ke atas pendapatan RM137.7 juta, hasil daripada kecekapan pelaksanaan projek EPCC yang lebih tinggi daripada diunjur sebelum itu.


“Margin EPCC dijangka kekal stabil pada suku-suku akan datang memandangkan projek yang dikunci tidak terjejas oleh faktor tekanan kos semasa,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.


Selain itu, HLIB menjangkakan pelaksanaan banyak Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) akan terus menyumbang kepada sebahagian besar daripada pendapatan Solarvest dalam tempoh yang terdekat.


Sementara projek-projek EPCC di bawah inisiatif Solar Berskala Besar (LSS) yang baru dimenangi oleh kumpulan berkenaan dijangka hanya mula menyumbang dari tempoh suku keempat FY26 (4QFY26).


Syarikat tersebut juga katanya, meletakkan sasaran pertumbuhan yang agresif, termasuk sebanyak RM1 bilion hasil pendapatan tahunan dan sejumlah RM3 bilion dalam buku tempahan belum dibil.


"Sasaran ini didorong oleh pelaksanaan CGPP, kemajuan projek LSS pada separuh kedua tahun, serta tender yang kukuh melibatkan LSS dan sistem penyimpanan tenaga berasaskan bateri (BESS)," kata HLIB.


Di samping itu, firma tersebut menekankan isu pendapatan berulang Solarvest kini berkembang secara konsisten, didorong oleh pemilikan efektif sebanyak 336 megawatt-peak (MWp) dalam projek LSS.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, sebaik sahaja operasi komersial bermula, projek berkenaan dijangka dapat menyumbang sebanyak lebih RM90 juta dalam bentuk pendapatan yang berulang.


Berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh serta prestasi sukuan yang mengatasi jangkaan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Solarvest, dengan harga sasaran masih RM3.18 sesaham.


“Kami percaya Solarvest berada di landasan tepat memanfaatkan lonjakan permintaan tenaga boleh diperbaharui serta pelaksanaan dasar hijau kerajaan yang agresif,” tambahnya. - DagangNews.com