KUALA LUMPUR 20 Ogos – SMRT Holdings Berhad baru-baru ini kembali mencatatkan keuntungan bersih, dan membuka potensi ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, keuntungan bersih teras kumpulan itu bagi tahun kewangan 2025 mencecah RM28.4 juta, sejajar dengan jangkaan dan mewakili 102% daripada unjuran tahun penuh.
Ia menjangka SMRT mencatatkan peningkatan pendapatan lebih ketara pada tahun kewangan 2026, dipacu oleh perluasan bilangan tapak kendalian dan kemajuan secara berterusan bersama pelanggan utama.
"Ini termasuk penerimaan pelbagai kerja-kerja daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, dan Perusahaan Listrik Negara (PLN) dari Indonesia," tambah HLIB dalam satu nota kajiannya.
Pihak pengurusan SMRT katanya, turut melaporkan jumlah kerja tertunggak tapak TNB telah berjaya dikurangkan daripada 2,000 kepada sekitar 1,800, yang mencerminkan kemajuan dalam pelaksanaan projek.
Sementara itu, tender Fasa 2 PLN Jakarta telah dimulakan semula, dan keputusan dijangka antara suku keempat 2025 hingga suku pertama 2026, berpotensi menyumbang semula pertumbuhan hasil luar negara.
HLIB turut menjelaskan bahawa perbelanjaan modal dalam Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) TNB yang lebih tinggi dijangka menyokong kadar pelaksanaan projek dilaksanakan oleh SMRT secara lebih konsisten.
"Di samping itu, peningkatan tarif air pada awal 2024 dijangka memberi kesan positif terhadap jumlah pesanan Air Selangor, terutamanya dalam usaha menangani isu bekalan air tiada hasil (NRW)," katanya.
Di Filipina pula tambah firma itu, pelaksanaan 1,000 tapak Point-of-Presence (PoP) bagi prasarana capaian dijangka mengukuhkan asas pendapatan berulang SMRT, dengan potensi tambahan penyambungan.
Selain pelanggan terasnya kata HLIB, kumpulan itu kini merancang untuk memperkukuh kehadirannya dalam sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti serantau dengan memanfaatkan model perniagaan sedia ada.
Pihak pengurusan SMRT juga kata firma penyelidikan berkenaan, secara aktif banyak meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi menjana pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang.
"Kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.07, berdasarkan unjuran nilai 30 kali ganda pendapatan sesaham (EPS) FY26," katanya.
Ia turut kekal positif terhadap SMRT atas potensi pertumbuhan pendapatan dalam sektor utiliti dan perkhidmatan kewangan, disokong asas hasilnya secara berulang yang semakin berkembang pesat.
Kata HLIB, pelaksanaan lebih banyak tapak kendalian dijangka meningkatkan kestabilan serta memacu pertumbuhan berterusan SMRT dalam aliran pendapatan berulang syarikat. - DagangNews.com








