KUALA LUMPUR 25 Nov - Public Investment Bank menilai keputusan SKP Resources Berhad bagi 2QFY26 sebagai di bawah jangkaannya sendiri apabila keuntungan bersih menyusut 20% tahun ke tahun (YoY).
Firma penyelidikan itu berkata, situasi tersebut menyebabkan syarikat meraih sebanyak RM27.5 juta, namun masih selari dengan pendapatan yang lebih rendah serta kos permulaan untuk pelanggan baharu.
Dengan prestasi pada tempoh 1HFY26 hanya memenuhi kira-kira 43.6% daripada unjuran firma itu, ia turut menurunkan unjuran pendapatan tahunan dari FY26 hingga FY28F sekitar 21% secara purata.
"Walaupun demikian, penilaian SKP Resources dilihat masih menarik dan kami mengekalkan saranan 'outperform', tetapi dengan harga sasaran lebih rendah pada 99 sen sesaham," kata PublicInvest.
Jelasnya, pendapatan pada 2QFY26 merosot 15.4% YoY kepada RM537.4 juta akibat aliran tempahan lebih perlahan daripada pelanggan utama selepas pengumuman tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan tersebut kata firma berkenaan, turut menjadi satu faktor besar yang sebenarnya telah menjejaskan syarikat itu dan secara kebetulan tidak pernah wujud pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun kata PublicInvest, dari sudut suku ke suku (QOQ), pendapatan SKP Resources naik 4.8% daripada RM513 juta pada 1QFY26, menandakan permintaan mulai stabil selepas kesan awal tarif AS.
"Keuntungan teras kumpulan berkenaan namun merosot kira-kira 20% YoY kepada RM27.5 juta, akibat oleh kos permulaan mengintegrasikan pelanggan baharu dan kenaikan mandatori gaji minimum," katanya.
Margin kasar jelas firma berkenaan, namun bertambah baik kepada 13.1% berbanding kira-kira 12% setahun lalu, disokong oleh kesan asas rendah daripada pelupusan inventori sekali sahaja pada FY25.
PublicInvest kekal positif terhadap prospek jangka sederhana SKP Resources, disokong oleh perluasan kapasiti untuk Printed Circuit Board Assembly (PCBA) dan pembangunan segmen 'injection moulding'.
Kumpulan ini katanya, mengadakan perbincangan aktif bersama pelanggan baharu bagi mempelbagaikan asas pendapatan dan meneroka automasi tambahan untuk mengurangkan tekanan kos buruh.
"Meskipun sentimen pengguna global khususnya di AS kekal lemah pasca tarif, usaha SKP Resources mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan utama dijangka meningkatkan ketahanan," katanya.
Justeru, PublicInvest mengekalkan saranan yang mencerminkan jangkaan pemulihan lebih perlahan, namun tetap menilai sahamnya sebagai menarik kerana diniagakan di bawah purata. - DagangNews.com








