Untung bersih SD Guthrie pada 2QFY25 naik 22% kepada RM505 juta didorong segmen huluan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SD Guthrie pada 2QFY25 naik 22% kepada RM505 juta didorong segmen huluan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Ogos — SD Guthrie Berhad mencatatkan keuntungan bersih meningkat 22 peratus pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) kepada RM505 juta, berbanding tempoh sama setahun lalu.

 

Kumpulan perladangan antara terbesar di dunia tersebut berkata, keuntungan yang direkodkan itu mewakili kira-kira 7.3 sen sesaham, daripada RM415 juta atau enam sen sesaham pada 2QFY24.

 

Perkembangan positif itu tambahnya, dirangsang oleh segmen huluan syarikat di ladang dan hasil suku tahunan juga didapati meningkat sebanyak empat peratus kepada RM5.17 bilion pada 2QFY25.

 

"Pada suku sama 2024, pendapatan direkodkan ialah RM4.97 bilion dan kami kali ini mengisytiharkan dividen interim sebanyak 7.75 sen sesaham," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

SD Guthrie menambah, tarikh matang untuk dividen berkenaan ialah pada 16 Oktober 2025, manakala proses pengagihan bayaran kepada pemegang saham pula dijadualkan bermula pada 31 Oktober 2025.

 

Ia berkata, bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), perolehan melonjak 71 peratus kepada RM1.07 bilion, berbanding sebanyak RM626 juta yang dicatatkan pada 1HFY24.

 

Pendapatan kumpulan berkenaan pula meningkat kira-kira tujuh peratus kepada RM9.99 bilion pada 1HFY25, daripada sebanyak RM9.31 bilion dalam tempoh separuh pertama setahun yang sebelumnya.

 

"Dalam tempoh enam bulan tersebut, segmen operasi huluan mendapat manfaat daripada harga purata realisasi minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK) yang didapati lebih tinggi," kata SD Guthrie.

 

Harga kedua-dua produk berkenaan tambah kumpulan itu, meningkat masing-masing sebanyak tiga peratus dan 50 peratus tahun ke tahun iaitu kepada RM4,146 dan RM3,247 bagi setiap tan metrik.

 

Sepanjang tempoh tinjauan, pengeluaran tandan buah segar (BTS) kumpulan turut meningkat sebanyak empat peratus, kerana semua segmen mencatatkan penuaian yang lebih tinggi. - DagangNews.com