KUALA LUMPUR 23 Feb —Powerwell Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih sembilan bulan tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM16.4 juta bagi tempoh berakhir 31 Disember 2025 (9MFY26), meningkat 42.3% berbanding RM11.5 juta yang direkodkan setahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu disokong pertumbuhan hasil sebanyak 30.9% tahun ke tahun kepada RM117.6 juta berbanding RM89.8 juta sebelumnya, didorong peningkatan penghantaran di Malaysia serta sumbangan lebih tinggi daripada operasi di Bangladesh dan Indonesia.
Pengarah Urusannya, Catherine Wong Yoke Yen berkata, pencapaian tersebut mencerminkan momentum positif berterusan dalam FY26 dengan kali pertama keuntungan bersih sembilan bulan kumpulan melepasi paras RM15 juta.
"Pada suku ketiga FY26 (3QFY26), kumpulan merekodkan hasil RM42.5 juta berbanding RM44.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu, terjejas akibat penghantaran lebih rendah.
" Margin keuntungan kasar bagi suku berkenaan berada pada 34.8% berbanding 44.3% sebelumnya, memandangkan margin 3QFY25 adalah luar biasa tinggi susulan pemuktamadan akaun projek semikonduktor," katanya dalam satu kenyataan.
Keuntungan bersih suku semasa berjumlah RM7.0 juta berbanding RM7.9 juta tahun lalu, selari dengan penurunan hasil dan normalisasi margin.
Powerwell merupakan pengeluar tempatan peralatan pengagihan elektrik voltan rendah dan voltan sederhana, dengan pengalaman industri lebih 30 tahun serta rekod projek di lebih 10 negara, meliputi sektor pusat data, pembangunan komersial, lapangan terbang, infrastruktur pengangkutan, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 4.9% pada 2025, disokong permintaan domestik menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Bagi 2026, Kementerian Kewangan menganggarkan pertumbuhan KDNK antara 4.0% hingga 4.5%, disokong inisiatif kerajaan serta pelaburan sektor swasta dalam memperkukuh infrastruktur perindustrian dan digital.
"Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran global dijangka berterusan berikutan perubahan dasar tarif, dinamika perdagangan dan perkembangan geopolitik,” katanya.
Seiring prospek itu, Powerwell memperoleh kontrak pusat data terbesar setakat ini bernilai RM68.5 juta di Selangor pada Januari 2026, sekali gus menjadi kemenangan keempat dalam segmen pusat data bagi FY26.
Sehingga 31 Disember 2025, buku tempahan kumpulan kekal kukuh pada kira-kira RM95 juta, tidak termasuk kontrak pusat data berkenaan, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang jelas.
Dalam perkembangan berkaitan, Powerwell pada Disember 2025 memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat bagi memperoleh 49% kepentingan ekuiti dalam Tenaga Kenari Sdn Bhd dan Tenaga Kenari Marketing Sdn Bhd pada harga RM16.7 juta.
Cadangan pengambilalihan itu disertakan jaminan keuntungan oleh vendor bahawa Tenaga Kenari akan mencapai keuntungan selepas cukai terkumpul sebanyak RM12 juta bagi tempoh tiga tahun kewangan.
Menurut Catherine, langkah peluasan strategik ke Malaysia Timur itu membolehkan kumpulan mengakses pelanggan dan industri baharu, selain memperluas portfolio produk serta keupayaan kejuruteraan.
Ia turut membuka peluang menyertai projek infrastruktur utama di Sarawak termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo, Sabah Sarawak Link Road Fasa II, Projek Lebuhraya Pesisir Utara, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching serta rangkaian jalan pesisir.
Di peringkat korporat, Powerwell turut dimasukkan dalam senarai sekuriti patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berdasarkan semakan terkini pada November 2025. - DagangNews.com








