Muhibbah Engineering menang kontrak RM300 juta bina infrastruktur terminal regasifikasi di Lumut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muhibbah Engineering menang kontrak RM300 juta bina infrastruktur terminal regasifikasi di Lumut

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JunMuhibbah Engineering (M) Berhad memperoleh kontrak bernilai RM300 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Lumut, Perak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak tersebut dianugerahkan oleh Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMTSB) untuk struktur marin Terminal Regasifikasi Ketiga (RGT3).


Menurutnya lagi, surat penganugerahan (LOA) bertarikh 15 Mei 2026 turut melibatkan pembangunan struktur marin dan kerja-kerja sampingan berkaitan di Lumut Maritime Terminal 2 (LMT2), Manjung.


"Projek berkenaan dijadualkan bermula pada Mei 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 Julai 2028, serta akan memperkukuhkan lagi buku tempahan kumpulan ini," jelas Muhibbah Engineering.


Katanya, kontrak tersebut bakal memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi tahun kewangan semasa dan tahun-tahun berikutnya.


Bagaimanapun ujar kumpulan berkenaan, perolehan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham atau struktur pegangan saham, dengan projek adalah dalam skop perniagaan terasnya.


Muhibbah Enginnering tidak terdedah kepada risiko baharu selain operasi biasa seperti isu ekonomi dan peraturan, kekurangan pekerja, turun naik harga bahan binaan serta pergerakan mata wang asing.


"Kumpulan memberi jaminan akan tetap mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengurus, dan juga mengurangkan risiko-risiko tersebut sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu berjalan," katanya.


Lembaga Pengarah berpandangan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan memandangkan ia akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam segmen kejuruteraan dan infrastruktur marin negara.


Selain itu jelasnya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan Muhibbah Engineering yang ada sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini. - DagangNews.com