Tawaran awam permulaan Sum Technology terlebih langgan 110.54 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran awam permulaan Sum Technology terlebih langgan 110.54 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 Jun — Tawaran awam permulaan (IPO) Sum Technology Berhad menerima sambutan positif apabila terlebih langgan 110.54 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu berkata, sebanyak 19,834 permohonan bagi 2.51 bilion saham bernilai RM702.7 juta diterima daripada orang awam Malaysia untuk 22.5 juta saham diperuntukkan di bawah kategori awam.


Selain itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, saham bagi bahagian Bumiputera menerima 8,873 permohonan untuk 820.61 juta saham, yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 71.94 kali.


"Sementara bahagian awam lain mencatatkan sambutan lebih tinggi apabila meraih 10,961 permohonan bagi 1.69 bilion saham, bersamaan terlebih langgan sebanyak 149.14 kali," kata Sum Technology.


Kumpulan kejuruteraan yang terlibat dalam pembinaan fasiliti berteknologi tinggi itu turut berkata, kesemua 4.5 juta saham diperuntukkan kepada individu berkelayakan sudah habis dilanggan sepenuhnya.


Di samping itu, 56.25 juta saham yang ditawarkan kepada golongan pelabur Bumiputera terpilih serta diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga sepenuhnya dilanggan.


Sum Technology yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor berkata, 33.75 juta saham diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian turut berjaya ditempatkan sepenuhnya.


"Secara keseluruhan, sejumlah 90 juta saham menerusi IPO berkenaan telah diperuntukkan kepada seramai 244 pelabur di bawah penempatan persendirian," jelas kenyataan kumpulan tersebut.


Pemegang saham terbesar dalam kumpulan pelabur penempatan itu menerima 17.14 juta saham atau 19.05% daripada keseluruhan saham diperuntukkan, bersamaan 3.81% dalam modal saham diperbesarkan.


Bagaimanapun, Sum Technology menjelaskan tiada mana-mana pelabur penempatan muncul sebagai pemegang saham terbesar hasil daripada pelaksanaan IPO tersebut yang sudah berakhir pada 4 Jun 2026.


Selepas selesai proses penyenaraian, Sum Technology akan mempunyai modal saham diperbesarkan sebanyak 450 juta saham, sebelum disenaraikan pada 18 Jun 2026. - DagangNews.com