KUALA LUMPUR 8 Jun – Radium Development Bhd melangkah ke fasa baharu perniagaan apabila secara rasmi menceburi sektor hospitaliti menerusi pelancaran hotel The Face Chancery Hotel di Ampang sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh pendapatan berulang kumpulan.
Langkah ini dilaksanakan menerusi pembangunan bersepadu Chancery yang merupakan projek utama syarikat itu, menandakan perubahan hala tuju Radium daripada tumpuan semata-mata kepada pembangunan hartanah kepada model perniagaan yang lebih pelbagai.
Projek berkenaan merangkumi bangunan setinggi 51 tingkat yang mengandungi 944 unit SoHo serta 145 bilik hotel yang ditempatkan di tingkat 10 hingga 14 dengan keseluruhan pembangunan dijangka siap pada tahun 2028.
Menurut pengurusan kumpulan, Radium telah memperuntukkan pelaburan sekitar RM135 juta bagi pembangunan komponen hotel tersebut termasuk RM109.3 juta yang diperoleh daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) ketika syarikat disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata keputusan melabur dalam segmen hospitaliti merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan kitaran projek hartanah semata-mata.
“Komponen hotel itu dijangka menjadi sumber pendapatan berulang yang lebih stabil serta mampu mengukuhkan daya tahan kewangan kumpulan dalam jangka panjang.
“Berdasarkan unjuran awal, hotel berkenaan dijangka mencapai kadar penghunian sekitar 55 peratus hingga 65 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama operasi, sebelum menjana pendapatan tahunan kira-kira RM20 juta menjelang tahun ketiga operasi penuh,” katanya.
The Face Hospitality pula dilantik sebagai perunding bagi operasi hotel tersebut manakala Radium akan memainkan peranan sebagai pengendali utama dalam memastikan kelancaran pengurusan dan operasi harian.
Pembangunan ini turut dilihat sebagai langkah memanfaatkan potensi pasaran di Ampang yang semakin berkembang, namun masih mempunyai bekalan hotel berjenama yang terhad, memberi ruang pertumbuhan yang lebih luas kepada projek berkenaan.
Dengan strategi kepelbagaian perniagaan ini, Radium dijangka dapat memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan serta mewujudkan aliran pendapatan yang lebih mampan selain daripada aktiviti utama pembangunan hartanah. - DagangNews.com








