Hextar Capital raih subkontrak RM60.4 juta naik taraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 di Perlis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Capital raih subkontrak RM60.4 juta naik taraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 di Perlis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun – Hextar Capital Berhad (HCB) melalui anak syarikatnya, Legacy Core Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Civispace Sdn Bhd) menerima satu lagi subkontrak baharu bernilai kira-kira RM60.4 juta untuk kerja menaik taraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 di Perlis.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HCB berkata ia melibatkan pembinaan ban perlindungan L5, L6 dan L7 serta kerja-kerja berkaitan (Pakej 3).

 

“Projek ini dianugerahkan oleh Jati Segera Sdn Bhd (JSSB) sebagai kontraktor utama manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertindak sebagai pemilik projek.

 

“Legacy Core Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) bertarikh 8 Jun 2026 sebagai pengesahan pelantikan rasmi.

 

“Tempoh kontrak ditetapkan bermula 9 Jun 2026 hingga 15 Jun 2027, menjadikan tempoh pelaksanaan kira-kira satu tahun,” katanya.

 

HCB menjelaskan projek ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta sepanjang tempoh kontrak berjalan.

 

Bagaimanapun, kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan atau struktur pegangan saham syarikat.

 

Syarikat turut memaklumkan projek ini tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham mahupun mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

 

Selain itu, HCB turut menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.

 

Walaupun berpotensi menyumbang kepada pendapatan kumpulan, syarikat mengakui projek ini terdedah kepada risiko operasi termasuk ketersediaan bahan dan tenaga kerja, turun naik harga bahan binaan serta perubahan keadaan ekonomi semasa.

 

Risiko lain yang turut dikenal pasti termasuk cabaran pelaksanaan projek pembinaan seperti keadaan cuaca, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.

 

Bagi mengurangkan risiko tersebut, HCB akan melaksanakan pengurusan projek secara berhemah serta memperkukuh kawalan dalaman bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar mengikut jadual.- DagangNews.com