KUALA LUMPUR 8 Jun — YLI Holdings Berhad memuktamadkan pelupusan dua bidang tanah di Kawasan Perindustrian Perai, Pulau Pinang kepada Trilight Optics (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM28.5 juta.
Dalam makluman tambahan kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut menyatakan urus niaga penjualan tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya sendiri, Yew Lean Foundry & Co Sdn Bhd.
Aset tersebut meliputi Lot 2432 dan Lot 2462, termasuk sistem elektrikal 33kV dan pencawang yang sudah sedia dibina di atasnya serta masing-masing dimiliki oleh YLI sejak Februari 1983 dan September 1999.
"Harga jualan berkenaan adalah lebih tinggi daripada nilai pasaran RM27.5 juta yang ditetapkan oleh firma penilaian bebas, Raine & Horne International Zaki + Partners Sdn Bhd," kata kumpulan tersebut.
Di samping itu jelasnya lagi, berdasarkan kepada laporan kewangan teraudit syarikat berkenaan setakat 31 Mac 2025, nilai buku bersih bagi kedua-dua hartanah tersebut hanya adalah RM15.9 juta.
Selain itu tambah YLI, tempoh pajakan aset berkenaan bagi Lot 2432 akan berakhir secara rasmi pada 3 Oktober 2042, manakala Lot 2462 pula dijangka tamat selepas itu iaitu menjelang 13 April 2044.
Kumpulan bercadang menggunakan sebahagian besar hasil jualan iaitu sebanyak RM20.6 juta sebagai modal kerja bagi menampung perbelanjaan operasi, gaji pekerja, serta kos pentadbiran dan kewangan.
"Sebanyak RM2.1 juta daripadanya diperuntukkan untuk tujuan pembayaran balik pinjaman bank yang dijangka memberikan penjimatan kadar faedah kira-kira RM134,240 setahun," kata syarikat berkenaan.
YLI menjelaskan langkah pembayaran hutang ini tidak akan memberi kesan ketara kepada kadar gearan kumpulan kerana jumlah itu hanya mewakili 1.47% daripada jumlah ekuiti syarikat setakat Mac 2025.
Sementara baki kira-kira RM5.8 juta lagi jelasnya, akan digunakan untuk membiayai pembayaran ke atas pelbagai cukai dan perbelanjaan yang berkaitan dengan cadangan pelupusan dua aset tersebut.
Laporan penilaian bagi hartanah berkenaan boleh diperiksa oleh pemegang saham di pejabat perniagaan syarikat itu di Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada waktu pejabat. - DagangNews.com








