KUALA LUMPUR 24 April – Unjuran keuntungan bersih PETRONAS Chemicals Group Berhad yang dijangka mencecah sekurang-kurangnya RM2.2 bilion bagi FY26 menjadi perhatian utama pasaran.
Menurut CGS International (CGSI), jangkaan positif berkenaan disokong oleh faktor harga jualan pelbagai produk petrokimia yang diramal masih lagi kekal tinggi untuk tempoh masa lebih lama.
Ia juga katanya, didorong gangguan bekalan global susulan konflik di Timur Tengah yang menaikkan harga produk olefin dan derivatif (O&D) serta baja dan metanol (F&M) melepasi jangkaan awal.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap PETRONAS Chemicals dengan harga sasaran (TP) RM6.58 berasaskan 1.4 kali ganda harga kepada nilai buku (P/BV) bagi unjuran akhir 2026," ujarnya.
Tambah CGSI, harga semasa urea sekitar AS$950 (RM3,772) satu tan berbanding AS$500 (RM1,985) sebelum konflik, manakala metanol ketika ini sudah meningkat kepada AS$672 (RM2,668) satu tan.
Lonjakan tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, mencerminkan isu kekangan bekalan yang masih berterusan akibat kerosakan teruk fasiliti gas dan petrokimia di Iran, Qatar dan Arab Saudi.

Pada masa sama katanya, harga polietilena bagi pengeluar di Asia Tenggara kini melebihi AS$1,500 (RM5,957) satu tan, jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum perang sekitar AS$900 (RM3,574).
“Segmen baja dan metanol dilihat mempunyai potensi pulangan paling mampan dalam jangka panjang, berikutan gangguan bekalan global yang mungkin mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” jelas CGSI.
Walaupun asas perniagaan PETRONAS Chemicals kukuh, ia menjangkakan pergerakan harga saham terus dipengaruhi sentimen luar, termasuk kemungkinan konflik berakhir boleh mencetuskan tekanan jualan.
Saham kumpulan itu tambahnya, sebelum ini melonjak lebih dua kali ganda daripada RM3 pada akhir Februari kepada RM6.13 pada akhir Mac sebelum menyusut susulan perkembangan gencatan senjata.
Bagaimanapun kata CSGI, saham tersebut kembali pulih apabila ketegangan di Selat Hormuz meningkat semula, berikutan ancaman perang melibatkan Iran dan Amerik Syarikat (AS) kemungkinan disambung.
"Antara risiko utama syarikat ini melibatkan persaingan eksport dari China, tekanan pembeli terhadap harga tinggi serta kos logistik yang meningkat," ujar firma berkenaan. - DagangNews.com








