Untung bersih Oriental Interest meningkat kepada RM147.9 juta didorong prestasi segmen hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Oriental Interest meningkat kepada RM147.9 juta didorong prestasi segmen hartanah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Dis - Oriental Interest Berhad mencatatkan prestasi kewangan kukuh dalam sejarah dengan keuntungan bersih sebanyak RM147.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025.


Kumpulan pemaju tersebut berkata, ia menyaksikan peningkatan 45.3% berbanding RM101.8 juta pada FY24, didorong terutama jualan dan kemajuan kerja merentasi projek pembangunan hartanah sedia ada.


Tambahnya lagi, hasil syarikat berkenaan pada FY25 dilaporkan turut meningkat kira-kira 30.4% kepada RM850.5 juta, berbanding hanya sebanyak RM652.5 juta bagi tahun kewangan yang sebelumnya.


"Sepanjang tempoh itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 51.1% kepada RM204.7 juta, dan segmen pembangunan hartanah kekal sebagai enjin pertumbuhan utama," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Bahagian tersebut kata Oriental Interest, menyumbang RM729.7 juta atau 85.8% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala lima projek berprestasi tinggi dikenal pasti antara penyumbang utama hasil.


Jelas kumpulan berkenaan, projek pembangunan itu masing-masing ialah Pulau Indah Industrial Plot, Myra Cove dan Myra Putri, di Selangor, serta Serai Residensi, dan Taman Kulim Utama di Kedah.


Sementara itu, Pengerusinya, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff menyatakan fokus strategik jangka panjang kumpulan terhadap kelestarian, inovasi, dan kecemerlangan operasi.


"Ini meletakkan Oriental Interest di landasan tepat untuk kejayaan dan bagi menghargai pemegang saham, syarikat membayar dividen khas sebanyak 20 sen sesaham pada 18 Julai 2025," katanya.


Melangkah ke hadapan tambahnya, kumpulan itu berada pada kedudukan kewangan yang stabil dengan jualan belum dibil sebanyak RM520.4 juta, manakala lebihan tunai dan rizab berjumlah RM202.8 juta.


Situasi tersebut ujar beliau, memberikan fleksibiliti kepada kumpulan untuk terus melaksanakan usaha pelaburan dalam peluang pertumbuhan masa hadapan serta tetap optimis terhadap prospek FY26.


Beliau yakin usaha itu disokong oleh permintaan berterusan untuk kediaman berkualiti pada harga berpatutan serta simpanan tanah strategik berkeluasan 1,028 hektar. - DagangNews.com