KUALA LUMPUR 20 Nov – Penyatuan KK Fresh Frozen Sdn Bhd sebagai subsidiari milik penuh muncul menjadi pemacu utama lonjakan prestasi MyAxis Group Berhad bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Langkah penstrukturan strategik itu membantu kumpulan tersebut mencatat kenaikan untung bersih 42.3% kepada RM3.7 juta berakhir 31 Julai 2025, berbanding hanya sebanyak RM2.6 juta pada tahun sebelumnya.
KK Fresh Frozen, yang memiliki rekod kukuh dalam segmen daging sejuk beku, memberi sumbangan ketara melalui kapasiti pemprosesan lebih besar, kecekapan operasi serta peningkatan tahap kawalan kualiti.
"Penyatuan ini turut mengukuhkan kedudukan MyAxis dalam rantaian bekalan dan memperluas penembusan pasaran di seluruh negara," kata kumpulan itu menerusi maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Jelasnya, seiring sumbangan subsidiari tersebut, MyAxis merekodkan lonjakan hasil kira-kira 52.5% kepada RM191.7 juta, didorong peningkatan volum jualan dan penyebaran produk yang semakin meluas.
Selain itu tambahnya lagi, permintaan yang cukup stabil daripada sektor peruncitan, perkhidmatan makanan, dan pemborong terus menyokong momentum pertumbuhan kumpulan berkenaan sepanjang FY25.
Walaupun berdepan tekanan inflasi dan kos logistik yang meningkat, kumpulan berjaya mengekalkan prestasi margin melalui strategi perolehan proaktif, pengurusan inventori yang lebih sistematik.
"MyAxis turut mempunyai hubungan jangka panjang yang baik dengan semua pembekal, dan peningkatan kecekapan ini turut disokong oleh isu aliran tunai operasi positif bernilai RM7.1 juta," katanya.
Pelaburan bernilai RM11.3 juta dalam peralatan pemprosesan, fasiliti stor sejuk dan aset guna sama juga membantu dalam meningkatkan produktiviti serta kebolehpercayaan rantaian bekalan kumpulan.
Justeru jelasnya, MyAxis menutup FY25 dengan kedudukan kukuh, mencatatkan jumlah aset RM36.6 juta, ekuiti RM14.2 juta serta tunai RM13.2 juta, sekali gus menyediakan ruang pengembangan masa hadapan.
Kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan berterusan industri pemprosesan makanan dan bekalan daging sejuk beku, dipacu proses urbanisasi, serta peningkatan permintaan makanan jenis siap sedia disaji.
"Inisiatif kerajaan memperkukuh keselamatan makanan negara, dan pemulihan agresif sektor makanan selepas wabak turut membuka peluang baharu kepada MyAxis sebagai pembekal dipercayai," tambahnya.
Secara keseluruhan, prestasi FY25 menyerlahkan keberkesanan transformasi korporat dan strategi penyatuan kumpulan, meletakkan MyAxis pada landasan kukuh pertumbuhan. - DagangNews.com








