Untung bersih MR DIY naik 11.9% kepada RM136.1 juta pada 3QFY25 didorong pertambahan 26 kedai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MR DIY naik 11.9% kepada RM136.1 juta pada 3QFY25 didorong pertambahan 26 kedai

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 NovMR DIY Group (M) Berhad mencatat kenaikan untung bersih sebanyak 11.9% tahun ke tahun (YoY) kepada kira-kira RM136.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25).


Menurut kumpulan peruncit barangan keperluan isi rumah itu, ia disokong oleh pertumbuhan hasil daripada pembukaan sejumlah kedai baharu serta pengembangan margin kasar hasil kos inventori lebih rendah.


Ia merekodkan hasil sebanyak RM1.20 bilion, meningkat 5.6% berbanding RM1.13 bilion pada suku yang sama tahun lalu, didorong pertambahan 26 kedai menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,528 kedai.


"Jumlah transaksi naik 8.4% kepada 49.2 juta, namun purata nilai bakul belian menurun 2.8% akibat sentimen pengguna berhati-hati selepas pemansuhan subsidi," maklum MR DIY kepada Bursa Malaysia.


Margin kasar kumpulan meningkat 1.9 mata peratusan kepada 47.3%, dipacu oleh penjimatan skala ekonomi dan pengukuhan kadar ringgit di pasaran global berbanding nilai mata wang asing yang lain.


Kos operasi lain meningkat 11% kepada RM315 juta disebabkan kenaikan kos tenaga kerja berikutan pelarasan gaji minimum, kos utiliti yang lebih tinggi dan susut nilai aset pula semakin meningkat.


Keadaan tersebut jelas MR DIY, adalah seiring peluasan rangkaian kedai, dan walaupun perbelanjaan meningkat, untung sebelum cukai (PBT) melonjak kira-kira 11.7% kepada sebanyak RM183.8 juta.


"Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, kami berjaya mencatat hasil terkumpul RM3.67 bilion, naik 5.6%, manakala untung bersih meningkat 11.2% kepada RM468.8 juta," katanya.


Berdasarkan perkembangan positif itu, lembaga pengarah syarikat tersebut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak RM123.2 juta, bersamaan 90.5% daripada keuntungan bersih suku tersebut.


Keadaan berkenaan jelas MR DIY, mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan perniagaan kumpulan dan ia menegaskan komitmen untuk meningkatkan pelaburan strategik dalam pertumbuhan serta teknologi.


Bagaimanapun katanya, ia tidak menjangkakan kesan material terhadap operasi daripada perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta caruman wajib KWSP yang baharu bagi pekerja asingnya.


“Kami kekal optimis terhadap sektor runcit, disokong perbelanjaan kerajaan berteraskan rakyat, penunjuk ekonomi yang bertambah baik, pengukuhan ringgit dan kemasukan pelaburan asing,” katanya.


Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan menyasarkan pembukaan 155 kedai di bawah jenama utama dan sub-jenama bagi memperkukuh kedudukan sebagai peruncit nilai pilihan utama rakyat. - DagangNews.com