KUALA LUMPUR 27 Mei — MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad (MKHOP) mencatatkan keuntungan bersih bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025 sebanyak RM19.2 juta, meningkat 19.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan perladangan yang berpusat di Indonesia itu berkata, prestasi tersebut dipacu harga purata jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) serta permulaan jualan minyak isirung sawit mentah (CPKO) pada Februari 2025.
Hasil turut meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM96.2 juta bagi tempoh itu dan ia mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 2 sen sesaham bagi suku ini, yang akan dibayar pada 25 Jun 2025 kepada pemegang saham.
"Pada tahun kewangan 2024, MKHOP mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 4 sen sesaham, bersamaan hasil dividen kira-kira 6.3 peratus berdasarkan harga saham semasa iaitu 63 sen," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh enam bulan pertama, keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 88.7 peratus kepada RM51.2 juta berbanding separuh pertama FY24 dengan hasil juga meningkat kira-kira 18.1 peratus kepada RM198.8 juta bagi tempoh yang sama.
Keputusan enam bulan itu merangkumi kira-kira 79.7 peratus daripada keputusan setahun penuh MKHOP bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 dan sebagai rekod, ia mencatat keuntungan bersih sebanyak RM64.2 juta dalam FY24.
Sementara itu, bagi perkembangan yang lain pula, MKHOP kini sedang melaksanakan proses penilaian untuk rancangan pengambilalihan tanah dengan pengumuman berkaitan akan dibuat oleh syarikat secara berperingkat dalam masa terdekat.
Sehingga kini, MKHOP katanya, memiliki jumlah keseluruhan tanah yang berkeluasan 18,205 hektar, dengan kira-kira 17,009 hektar daripadanya itu telah selesai ditanam pokok kelapa sawit baharu dan sudah mencapai usia tahap matang.
Pengerusinya, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata, prospek MKHOP bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2025 kelihatan positif berdasarkan rekod kemajuan dan perkembangan semasa syarikat tersebut.
“Prospek kumpulan terus disokong oleh faktor permintaan pasaran semasa terhadap MSM, yang didagangkan pada harga sekitar RM3,600 hingga RM3,800 satu tan metrik selepas ditolak duti eksport dan levi di Indonesia," kata beliau.
Kumpulan itu terus melaksanakan langkah proaktif dalam operasinya; termasuk menambah baik sistem pengurusan air dan memaksimumkan kutipan serta kualiti hasil tuaian melalui usaha mekanisasi yang berterusan. - DagangNews.com








