Untung bersih MHB susut 15% kepada RM102.8 juta bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MHB susut 15% kepada RM102.8 juta bagi FY25

Oleh Amree Ahmad

 

KUALA LUMPUR 21 FebMalaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM102.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


Pencapaian ini menyusut kira-kira 15.07% berbanding RM121.03 juta pada FY24, disebabkan penurunan hasil kumpulan kepada RM1.98 bilion daripada sebanyak RM3.61 bilion pada tahun sebelumnya, 


Situasi itu berpunca daripada aktiviti projek yang rendah dalam segmen kejuruteraan berat kerana banyak projek sedia ada menghampiri fasa penamat manakala projek baharu masih di peringkat awal.


"Ia menyumbang hasil sebanyak RM1.42 bilion, namun mencatatkan penurunan keuntungan operasi kepada RM71.4 juta berbanding RM110.1 juta pada tahun yang sebelumnya," maklum MHB kepada Bursa Malaysia.


Kemerosotan itu jelasnya, disebabkan oleh tahap aktiviti projek yang lebih rendah, berbeza dengan tahun sebelumnya yang mendapat manfaat daripada pembayaran balik kos daripada para pelanggan.


Sebaliknya tambah kumpulan tersebut, segmen marin pula menunjukkan prestasi yang lebih kukuh dengan peningkatan hasil kepada sebanyak RM560.5 juta berbanding hanya RM422.0 juta pada 2024. 


Pertumbuhan ini didorong peningkatan dalam aktiviti penukaran kapal dan kerja pembaikan, Selaras dengan kenaikan hasil, keuntungan operasi bagi segmen berkenaan juga meningkat kepada RM63.1 juta.


"Bagi suku keempat FY25 sahaja, MHB melaporkan keuntungan bersih mencecah sebanyak RM52.3 juta, melonjak ketara daripada cuma RM21.4 juta yang dicatatkan bagi suku sama FY24," kata kumpulan itu.


Walaupun hasil suku tersebut menyusut kepada RM581.7 juta, keuntungan naik berikutan pulangan positif projek sudah siap dalam segmen kejuruteraan berat serta sumbangan tinggi segmen marin.


Mengenai prospek masa hadapan, ia menjangkakan persekitaran operasi pada 2026 akan kekal mencabar dan tidak menentu disebabkan pelbagai faktor geopolitik dan ketidaktentuan tarif antarabangsa.


Bagaimanapun, MHB melihat peluang permintaan kukuh bagi sektor 'floaters' dan akan terus mengutamakan pelaksanaan projek yang berdisiplin serta fokus kepada penyampaian. - DagangNews.com