Untung bersih Melati Ehsan susut kepada RM1.12 juta pada FY25 akibat belanja pentadbiran lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Melati Ehsan susut kepada RM1.12 juta pada FY25 akibat belanja pentadbiran lebih tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Dis - Melati Ehsan Holdings Berhad mencatatkan penyusutan untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 berikutan perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan lebih tinggi.


Selain itu, kumpulan pemaju tersebut berkata, ketiadaan pengiktirafan daripada sumber pendapatan lain yang tinggi seperti direkodkan pada tahun sebelumnya, turut menjejaskan keuntungan berkenaan.


Berdasarkan laporan tahunan terbaharunya yang diterbitkan hari ini, ia merekodkan untung bersih hanya sebanyak RM1.119 juta bagi FY25, berbanding kira-kira RM8.197 juta pada tahun kewangan 2024.


"Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan lonjakan pendapatan luar biasa sebanyak 320% iaitu RM152.287 juta berbanding RM36.264 juta pada FY24," kata Melati Ehsan dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Peningkatan hasil yang ketara ini jelasnya, didorong terutama oleh kemajuan kerja-kerja pembinaan projek Bayu Selayang Heights, Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) dan Bayu 2Sixty.


Bahagian pembinaan pula merupakan penyumbang utama kepada syarikat tersebut dengan mewakili 75.40% daripada pendapatan kumpulan itu, manakala bahagian hartanah berjaya menyumbang 24.13%.


Lembaga Pengarah Melati Ehsan mencadangkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan.


"Kumpulan mengekalkan imbangan sihat dengan pengurangan pinjaman kira-kira 25% hasil aktiviti penebusan dan kemajuan skim pembangunan, manakala aset bersih sesaham stabil RM2.18," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Yap Suan Chee dalam kenyataan tersebut berkata, kumpulan pemaju berkenaan kekal optimis terhadap prospek pasaran sektor pembinaan dan hartanah Malaysia.


Beliau menekankan bahawa ekonomi tempatan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan komitmen oleh pihak kerajaan sendiri terhadap projek infrastruktur asas di bawah Belanjawan 2026.


Melati Ehsan juga bersedia melancarkan fasa kedua Bayu Selayang Heights pada separuh pertama 2026 dan meneruskan projek pembangunan bercampur ME City di Kelana Jaya dengan lokasi yang strategik.


"Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75% pada Julai 2025 akan meningkatkan kemampuan pinjaman pembeli rumah dan menyokong pertumbuhan permohonan," kata Suan Chee. - DagangNews.com