KUALA LUMPUR 22 Ogos – Unjuran keuntungan bersih Malaysian Pacific Industries Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26) disemak semula dengan kadar penyusutan sebanyak 13%, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pengurangan berkenaan disebabkan berlaku faktor peningkatan kos input dan perbelanjaan pra-operasi untuk kemudahan baharu kumpulan itu di Suxiang, China.
Bagaimanapun, ia kekal optimis terhadap prospek kumpulan itu, dengan mengekalkan saranan 'beli' serta menaikkan harga sasaran sesahamnya kepada RM30.50 berbanding kira-kira RM29.70 sebelum ini.
"Kami menjangka Malaysian Pacific bakal menawarkan potensi kenaikan sebanyak 38% dan hasil dividen pula diunjur boleh bertambah lagi sekitar 3% untuk FY26," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Semalam, kumpulan teknologi tersebut melaporkan keuntungan bersih teras (PATAMI) untuk tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2025 sebanyak RM165.9 juta, susut 8.8% tahun ke tahun (YoY).
Sementara pendapatan kumpulan pula direkodkan meningkat 1.7% kepada RM2.13 bilion dan pencapaian itu juga selari dengan jangkaan firma tersebut (100.7%) serta melebihi konsensus pasaran (115.7%).
Penurunan margin disumbangkan oleh kos bahan mentah lebih tinggi, kadar penggunaan kapasiti yang rendah di Malaysia dan kesan daripada pertukaran pasaran mata wang asing tidak menguntungkan.
"Carsem Suzhou mencatat peningkatan ketara dari segi penggunaan kapasiti dan keuntungan, namun prestasi Carsem Malaysia merosot 33% YoY, menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan ini," katanya.
RHB Research menambah, untuk suku keempat 2025, PATAMI Malaysian Pacific meningkat 44.6% YoY kepada RM49.5 juta, didorong oleh operasinya di China serta kadar cukai efektif yang lebih rendah.
Bagaimanapun katanya, pendapatan kumpulan itu dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS) bagi 4QFY25 melonjak 16.2% YoY menjadikannya suku keenam berturut-turut yang mencatat pertumbuhan tahunan.
Kenaikan positif itu tambah firma berkenaan, disokong oleh permintaan kukuh dari Asia (+18% YoY) dan Eropah (+13% YoY), meskipun terdapat penurunan dari pelanggan di pasaran AS (-11% YoY) sendiri.
Berdasarkan perkembangan itu, ia meramal prospek lebih cerah pada tahun dadapan, dengan pemulihan berterusan dalam industri semikonduktor akan memberi lonjakan kepada prestasi pada FY26.
"Ini bakal dipacu oleh permintaan industri automotif dan perindustrian, pemulihan tempahan selepas pelarasan inventori serta kitaran penggantian teknologi," kata RHB Research dalam nada optimis.
Kilang baharu di Suxiang, yang kini dalam fasa kelayakan, dijangka memulakan pengeluaran pada FY26 dengan memfokuskan kepada pakej automotif dan perindustrian seperti produk bumping flip-chip.
Walaupun tarif elektrik, bahan mentah, dan caruman wajib pekerja asing dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dijangka meningkat selepas ini, Malaysia Pacific tetap ada perancangan jangka panjang.
Firma itu berkata, antaranya peningkatan automasi dan pengoptimuman operasi untuk melindungi margin di sebalik risiko kelembapan tempahan, teknologi usang serta ketidaktentuan tukaran asing. - DagangNews.com








