KUALA LUMPUR 5 Mei – Malaysian Pacific Industries Berhad mencatatkan penurunan kira-kira 17.83% keuntungan bersih kepada sebanyak RM44.8 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (3QFY26).
Menurut makluman kumpulan teknologi berkenaan kepada Bursa Malaysia, jumlah tersebut merosot berbanding sebanyak RM54.5 juta yang pernah dicatatkan pada tempoh suku sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, dan menjejaskan margin keuntungan walaupun syarikat mencatatkan pertumbuhan hasil memberangsangkan.
"Pendapatan kumpulan ini bagi tiga bulan tersebut meningkat 25% kepada RM651.6 juta berbanding sebanyak RM519.9 juta pada suku ketiga tahun kewangan sebelumnya," kata Malaysian Pacific.
Peningkatan hasil ini dipacu oleh pertumbuhan kukuh di semua segmen pasaran utama, dengan segmen Amerika Syarikat (AS) melonjak 56%, Asia mencatatkan kenaikan 23%, dan Eropah meningkat 11%.
Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi 3QFY26 adalah lebih rendah iaitu RM53.2 juta berbanding RM58.2 juta bagi 3QFY25, kesan peningkatan kos pengeluaran yang menghakis margin.

Bagi tempoh sembilan bulan, Malaysian Pacific menunjukkan prestasi kukuh dengan keuntungan bersih naik kepada RM188.3 juta berbanding RM147.0 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan 2025.
"Hasil terkumpul syarikat ini pula mencatatkan jumlah keseluruhan mencecah RM1.91 bilion, meningkat 22% berbanding hanya kira-kira RM1.57 bilion dilaporkan sebelumnya," jelas kumpulan berkenaan lagi.
Susulan prestasi positif tersebut, Lembaga Pengarah bersetuju mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 30.0 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026.
Mengenai prospek masa depan, Malaysian Pacific menjangkakan kumpulan terus meraih manfaat daripada pertumbuhan sektor semikonduktor global, khususnya melalui strategi yang memberi fokus tertentu.
Antaranya jelas kumpulan berkenaan, ialah sektor perniagaan dengan margin yang lebih tinggi seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penderia berikutan permintaan pesat di pasaran antarabangsa.
"Pengurusan syarikat juga komited untuk terus mengurangkan kesan peningkatan kos pengeluaran yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan ekonomi global," katanya. - DagangNews.com








