KUALA LUMPUR 12 Ogos — Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) mencatatkan keuntungan bersih yang susut kepada sebanyak RM13.9 juta pada suku kedua tahun ini berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25).
Kumpulan pengeluar logam dan perlombongan bijih timah itu berkata, angka tersebut adalah merosot berbanding keuntungan bersih sebanyak RM16.7 juta direkodkan pada suku sama tahun lalu (2QFY24).
Bagi suku berkenaan, MSC menjana hasil sebanyak RM379.0 juta, juga menurun daripada RM410.8 juta pada tempoh 2QFY24, terutamanya disebabkan oleh faktor jualan yang lebih rendah bagi bijih timah ditapis.
"Keadaan ini berlaku kerana penurunan harga purata timah sebanyak RM139,800 setiap tan metrik (MT) berbanding RM153,400 setiap MT pada 2QFY24," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, keuntungan selepas cukai (PAT) segmen perlombongan bijih timah pula berjumlah RM21.4 juta pada 2QFY25 (2QFY24: RM24.9 juta), mencerminkan harga purata bijih timah yang lebih lemah.
Sebaliknya kata MSC, segmen peleburan bijih timah mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM6.3 juta pada suku berkenaan, berbanding PAT sebanyak RM4.7 juta yang direkodkannya pada 2QFY24.
Katanya, situasi itu sebahagian besar disebabkan pengurangan bahan mentah daripada sumber pihak ketiga dari China dan gangguan tidak dirancang dalam operasi di Kilang Pelebur MSC Pulau Indah.
"Aktiviti peleburan terjejas oleh gangguan bekalan gas selama tiga bulan dari April hingga Jun 2025, berikutan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, yang menyekat operasi relau," katanya.
Sementara itu tambahnya, dalam tempoh separuh pertama 2025 (1HFY25), MSC merekodkan hasil RM748.7 juta berbanding RM773.3 juta pada 1HFY24, terutama disebabkan oleh penurunan jualan timah bertapis.
Bagaimanapun katanya, ia diimbangi harga purata bijih timah lebih tinggi iaitu RM140,900 setiap MT pada 1HFY25 (1HFY24: RM139,100 setiap MT) serta peningkatan jualan bagi sanga dan produk sampingan.
MSC merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM21.7 juta pada 1HFY25, daripada RM35.0 juta pada 1HFY24, sebahagiannya disebabkan oleh taksiran cukai tambahan sekali sahaja yang dikenakan.
"Persekitaran ekonomi global kekal mencabar, dibentuk oleh ketidaktentuan dasar yang berterusan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC, Datuk Dr Patrick Yong sebagai mengulas laporan itu.
Beliau menambah, tekanan inflasi dan dinamik perdagangan selain faktor luaran telah membawa kepada peningkatan tekanan kos merentas industri, namun MSC masih terus berhemat. - DagangNews.com








