KUALA LUMPUR 27 Mei — Malakoff Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025 sebanyak RM34 juta, susut berbanding RM62 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan tersebut berkata, prestasi lemah itu disebabkan semakan semula tarif ke bawah di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang dilanjutkan telah mengurangkan sumbangan hasil daripada Prai Power Sdn Bhd.
Ia berkata, bayaran tenaga lebih rendah daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd susulan penurunan harga arang batu serta Segari Energy Ventures Sdn Bhd juga memberi kesan kepada kumpulan.
"Malakoff mencatatkan hasil sebanyak RM2,027.9 juta, menurun RM252.2 juta atau 11.1 peratus berbanding RM2,280.1 juta dalam suku yang sama pada tahun sebelumnya," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sumbangan rumusan alam sekitar masih stabil dan walaupun jumlah sisa dikutip di bawah perniagaan konsesi ada penurunan 0.4 peratus daripada Q1FY24, tetapi sisa perniagaan bukan konsesi meningkat 71 peratus.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, syarikat meneruskan momentum dalam memperkukuh penjanaan tenaga, portfolio tenaga boleh baharu dan rumusan alam sekitar.
"Ia sebahagian peralihan strategik ke arah pertumbuhan mampan dan kami sedang memerhati penurunan harga arang batu global, sebahagian besar dipacu permintaan rendah dari pasaran utama seperti China dan India," katanya.
Tambah beliau, walaupun trend itu mungkin membawa kepada bayaran tenaga yang lebih sederhana daripada aset berasaskan arang batu, Malakoff melihatnya sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga global yang lebih luas.
Pelbagai usaha dilaksanakan ketika ini mencerminkan komitmen berterusan kumpulan itu untuk mengekalkan daya tahan perniagaan sambil menyokong keperluan tenaga negara dalam landskap pasaran yang berkembang. - DagangNews.com








