Untung bersih Malakoff diunjur susut pada 4QFY25 disebabkan tamat perjanjian loji Prai - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Malakoff diunjur susut pada 4QFY25 disebabkan tamat perjanjian loji Prai - AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Malakoff Corporation Berhad diunjur boleh mengalami penyusutan keuntungan bersih bagi tempoh suku terakhir pada tahun ini, kata AmInvestment Bank Research (AmInvest).   


Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu disebabkan penamatan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk lojinya di Prai, Pulau Pinang pada 31 Ogos 2025. 


Premis yang menjana bekalan elektrik 350 megawatt berkenaan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Malakoff, Prai Power Sdn Bhd setelah memperoleh lanjutan setahun PPA pada 1 September 2024.


"Setakat ini belum ada lagi sebarang pengumuman daripada TNB dan kami menjangkakan penurunan dalam keuntungan bersih pada 4QFY25 apabila PPA itu berakhir," kata AmInvest dalam satu nota kajiannya.


Loji tersebut yang memulakan operasi pada 2005 menggunakan turbin gas berkitar aci tunggal termaju yang pertama seumpamanya pada masa berkenaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi rantau Asia Tenggara.


Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu berkata, sehingga kini, Malakoff tidak mengalami sebarang gangguan di loji janakuasa Prai tersebut, yang berisiko besar menjejaskan pembayaran kapasiti.


Bagaimanapun, AmInvest berpendapat, sekiranya kumpulan itu memenangi bidaan untuk melanjutkan PPA tepat pada masanya, ia berpotensi menerima bayaran kira-kira RM20 juta setiap suku tahun.


"Kami menjangkakan keuntungan bersih Malakoff akan menjadi normal sehingga RM70 juta pada 2QFY25 berbanding RM34 juta pada 1QFY25 jika tiada peruntukan nilai bersih untuk arang batu," katanya.


Secara keseluruhan, tempoh suku kedua 2025 diramal lebih baik tetapi 4QFY25 mungkin lemah kecuali Malakoff segera mengambil bahagian dalam permohonan cadangan untuk loji janakuasa gas baharu.


AmInvest namun percaya bahawa pihak pengurusan kumpulan tersebut akan berusaha untuk membida bagi melanjutkan tempoh PPA bagi tiga loji janakuasa sedia ada iaitu Prai serta GB3 dan Segari di Perak.


Selain itu, firma berkenaan meramalkan kumpulan itu juga akan membida untuk membangunkan loji janakuasa gas baharu dengan pemenang tender akan diumumkan TNB pada tiga bulan terakhir tahun ini.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, ia masih mengekalkan saranan "pegang" ke atas Malakoff dengan harga sasaran turut tidak berubah sebanyak 88 sen sesaham. - DagangNews.com