KUALA LUMPUR 8 Jan - Lotus Circular Berhad mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) sebanyak RM6.43 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 Jun 2025 (FY25).
Meskipun kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai MESB Berhad itu kekal dalam landasan keuntungan, prestasi ini menunjukkan penurunan ketara berbanding RM14.16 juta dicatatkan bagi FY24.
Kata kumpulan yang ditubuhkan pada 1995 itu, penyebab utama penyusutan keuntungan ini adalah tekanan inflasi apabila menjejaskan sentimen perbelanjaan pengguna dalam segmen peruncitan.
"Selain itu, margin keuntungan semakin mengecil dalam segmen kitar semula akibat peralihan kepada aktiviti pemborongan bermargin rendah," maklum Lotus Ciruclar kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, syarikat merekodkan hasil RM207.87 juta, melonjak 10.90% berbanding RM187.44 juta pada tahun kewangan 2024, didorong oleh prestasi kukuh segmen kitar semula sisa.
Hasil segmen peruncitan pula menyusut 3.95% kepada RM135.19 juta, dengan keuntungan jatuh daripada RM11.95 juta kepada RM5.76 juta ekoran kenaikan kos operasi dan kuasa beli pengguna lemah.
Prestasi segmen kitar semula, walaupun hasil melonjak 55.67% kepada RM72.68 juta, keuntungan namun merosot 33.41% kepada RM5.58 juta, disebabkan margin kecil aktiviti borong kertas dan plastik.
"Segmen pegangan pelaburan mencatatkan kerugian lebih tinggi iaitu RM1.40 juta, berbanding RM0.45 juta pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan nasihat korporat," jelasnya.
Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, Lotus Circular dalam proses melengkapkan pengambilalihan Earthwise Resources Sdn Bhd dan Expert Resource Management Sdn Bhd dimeterai pada Disember 2024.
Menurut Pengerusi Eksekutif Chua Jin Kau, langkah ini dijangka memperluaskan kapasiti pemprosesan kitar semula dan mempelbagaikan aliran pendapatan syarikat agar perniagaannya lebih pelbagai.
Beliau menyatakan bahawa kumpulan tersebut akan terus menumpukan kepada pengoptimuman kos dan kecekapan operasi untuk menangani cabaran margin dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
"Setakat 30 Jun 2025, kedudukan kewangan Lotus Circular kekal berdaya tahan dengan aset bersih berjumlah RM165.55 juta dan kedudukan tunai sebanyak RM50.73 juta," katanya. - DagangNews.com








