KUALA LUMPUR 21 Ogos – LBS Bina Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM27.1 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (2QFY25), menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, angka berkenaan adalah penurunan sebanyak 22.1% tahun ke tahun (YoY) dan kira-kira 4.0% suku ke suku (QoQ), yang sebenarnya masih sejajar dengan jangkaan pasaran.
Tambahnya, keuntungan bersih terkumpul sepanjang enam bulan pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) berjumlah RM55.3 juta, iaitu 16.2% lebih rendah berbanding bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
"Keuntungan yang direkodkan LBS ini sebenarnya merangkumi kira-kira 49% daripada unjuran kami sendiri dan sebanyak 45% daripada jangkaan konsensus bagi tahun penuh," kata PublicInvest dalam satu notanya.
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan serta saranan 'outperform', dengan harga sasaran tidak berubah kepada 67 sen, bersamaan diskaun 30% daripada nilai aset bersih (NTA).
Sebahagian besar hasil dan keuntungan pemaju itu masih disumbangkan oleh projek pembangunan hartanah di Lembah Klang seperti KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan Idaman.
Kesemua projek kediaman berkenaan kata PublicInvest, dilihat secara umum adalah positif apabila berjaya menyumbang lebih 86% daripada jumlah hasil kumpulan LBS dalam tempoh separuh pertama 2025.
"Prestasi kumpulan namun sedikit perlahan pada tahun ini kerana beberapa projek telah siap atau hampir tahap penyiapan, sekali gus mengurangkan kadar pengiktirafan hasil dan keuntungan," katanya.
Bagaimanapun tambah firma itu, LBS mencatat prajualan berjumlah RM552.8 juta dalam tempoh 1HFY25, meningkat sedikit berbanding RM547.9 juta yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun lalu.
Angka ini namun hanya mewakili 37% daripada sasaran jualan tahunan kumpulan sebanyak RM1.5 bilion dan pelancaran projek-projek baharu dijangka dipertingkatkan lagi dalam separuh kedua tahun kewangan.
Setakat 13 Ogos 2025 kata PublicInvest, jumlah jualan dicatatkan pengurusan LBS didapati telah pun berjaya meningkat kepada sekitar RM676 juta, dengan nilai tempahan dalam saluran sebanyak RM387 juta.
"Daripada jumlah prajualan tersebut, sebanyak 66% disumbangkan oleh pelbagai projek LBS di sekitar Lembah Klang, manakala Johor dan Pahang masing-masing menyumbang kira-kira 18% dan 16%," katanya.
Jualan belum dibil pula tambah firma penyelidikan tersebut, didapati menunjukkan penyusutan sedikit kepada sebanyak RM1.4 bilion pada 2QFY25, berbanding kira-kira RM1.6 bilion pada suku sebelumnya.
Sepanjang 1HFY25, kumpulan hanya melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM704 juta, manakala baki pelancaran bernilai RM2.3 bilion lagi dijangka diperkenalkan dalam 2HFY25.
PublicInvest kekal optimis terhadap prospek LBS, memandangkan pelancaran agresif dijangka dalam separuh kedua tahun kewangan serta kekuatan asas projek kumpulan, terutama di kawasan tumpuan. - DagangNews.com








