KUALA LUMPUR 20 April - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menutup tahun kewangan 2025 dengan prestasi kewangan yang stabil apabila keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 129.5% kepada RM43.8 juta berbanding RM19.1 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ketara itu dicapai walaupun hasil susut 2.0% kepada RM1.04 bilion daripada RM1.06 bilion sebelumnya, dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
Kumpulan berkata, sentimen pasaran terjejas susulan pelaksanaan tarif perdagangan Amerika Syarikat yang meningkatkan ketidaktentuan merentasi pelbagai industri, sekali gus memberi kesan kepada segmen pembuatan.
Selain itu, segmen pembungkusan terus berdepan tekanan akibat persaingan sengit daripada eksport kos rendah yang menyebabkan lebihan bekalan dan tekanan harga dalam pasaran tempatan.
"Bagaimanapun, prestasi keuntungan disokong oleh kos pembiayaan lebih rendah serta pengurangan perbelanjaan cukai dan zakat, termasuk ketiadaan cukai pegangan sekali sahaja berikutan penutupan operasi di Shanghai," kata kumpulan itu dalam Laporan Tahunan 2025 yang disiarkan Bursa Malaysia.
Menurut kumpulan itu lagi sumbangan lebih tinggi daripada operasi di Vietnam yang menikmati pengecualian cukai, selain penjimatan cukai hijau daripada inisiatif pemasangan solar turut membantu meningkatkan keuntungan kumpulan.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) turut meningkat kepada RM39.7 juta berbanding RM17.9 juta pada tahun sebelumnya.
Dari segi pulangan kepada pemegang saham, KPS mengisytiharkan dividen interim 1.0 sen sesaham berjumlah RM5.4 juta yang telah dibayar pada 23 Disember 2025.
Pada masa sama, Lembaga Pengarah turut mencadangkan dividen akhir 2.0 sen sesaham melibatkan pembayaran RM10.7 juta, yang dijadualkan pada 16 Jun 2026, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Secara keseluruhan, jumlah agihan dividen sebanyak RM16.1 juta mewakili lebih 30% daripada PATAMI teras, selaras dengan dasar dividen kumpulan. - DagangNews.com








