Untung bersih Kinergy Advancement naik 21% pada 1HFY25, didorong segmen tenaga mampan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Kinergy Advancement naik 21% pada 1HFY25, didorong segmen tenaga mampan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Kinergy Advancement Berhad (KAB), mencatatkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak 20.9% kepada RM12.7 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25).


Kumpulan penyedia rumusan tenaga mampan (SES) dan kejuruteraan sehenti itu berkata, sebelum ini ia hanya merekodkan keuntungan bersih kira-kira RM10.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.


Prestasi kukuh ini disokong oleh lonjakan hasil sebanyak 98.3% kepada RM166.3 juta sepanjang 1HFY25, dengan segmen SES muncul penyumbang utama pertumbuhan pendapatan dan keuntungan kumpulan.


"Bagi 2QFY25, KAB mencatatkan keuntungan bersih RM6.5 juta, naik 16.6% berbanding suku sama 2024, manakala hasil meningkat 133.8% kepada RM97.7 juta, daripada RM41.8 juta pada Q2 FY2024," katanya.


Dalam satu makluman oleh kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, ia menambah, pendapatan sesaham (EPS) juga meningkat sedikit kepada sebanyak 0.61 sen, berbanding kira-kira 0.53 sen setahun lalu.


Segmen SES terus kukuh sebagai enjin utama, menyumbang RM81.1 juta hasil dan RM9.0 juta keuntungan operasi, mencerminkan kejayaan strategi yang fokus projek konsesi berulang dan berimpak tinggi.


KAB menambah, segmen kejuruteraan pula masih kekal stabil dengan sumbangan hasil sebanyak RM16.5 juta, menandakan kekuatan warisan teknikal yang masih menjadi teras kepada operasi kumpulan itu.


"Pada suku ini juga, KAB berjaya memperoleh kontrak terbesar bernilai RM646 juta, yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan pada suku-suku seterusnya," kata kenyataan tersebut.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lai Keng Onn berkata, setiap pencapaian strategik memperkukuh keupayaan KAB untuk menjana nilai jangka panjang.


KAB kata beliau, turut mencatatkan aliran tunai operasi sebanyak RM51.1 juta dalam enam bulan pertama tahun ini, yang melonjak tinggi daripada hanya RM5.8 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.


Perkembangan itu ujarnya, menunjukkan keupayaan KAB menukar pertumbuhan hasil kepada tunai sebenar, sekali gus mengukuhkan lagi kecairan bagi pembesaran potensi perniagaannya pada masa depan.


"Buku tempahan aktif kami berjumlah RM1.34 bilion, disokong saluran tender RM2.78 bilion, menjanjikan kesinambungan pertumbuhan berkualiti dan keupayaan membiayai projek berskala besar," kata Keng Onn.


Antara projek strategik termasuk dua projek hidroelektrik di bawah kelulusan Tarif Galakan 2.0, serta loji janakuasa 650MW di Perlis, meletakkan KAB sebagai Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) sepenuhnya.


Kata beliau, sejak peralihan strategik pada 2022, segmen SES menjadi teras pertumbuhan KAB dan yakin berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai aspirasi sebagai pemain IPP tempatan secara mampan


Usaha itu tambahnya, dipacu dengan portfolio projek konsesi jangka panjang, rekod prestasi terbukti, dan kerjasama strategik selain terus mengekalkan reputasi sebagai operator ternama. - DagangNews.com