Untung bersih Insights Analytics bagi 3QFY26 jatuh kepada RM9.5 juta akibat margin rendah segmen air | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Insights Analytics bagi 3QFY26 jatuh kepada RM9.5 juta akibat margin rendah segmen air

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 MacInsights Analytics Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.52 juta bagi suku ketiga yang berakhir 31 Januari 2026 (3QFY26), merosot 3.8% berbanding suku sebelumnya.


Prestasi ini menyaksikan penyusutan marginal RM0.38 juta berbanding suku kedua FY26, disebabkan terutamanya oleh faktor margin keuntungan yang lebih rendah dalam segmen rumusan teknologi air.


Meskipun keuntungan bersih jatuh sedikit, syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia ini melaporkan lonjakan pendapatan kira-kira 67.3% kepada sebanyak RM44.28 juta bagi suku tersebut.


"Ia adalah lebih baik berbanding hanya sejumlah RM26.47 juta dicatatkan pada 2QFY26," kata Insights Analytics dalam makluman laporan kewangan suku tahunan yang belum diaudit kepada Bursa Malaysia.


Peningkatan hasil yang ketara ini jelas kumpulan berkenaan dipacu daripada sumbangan lebih tinggi menerusi segmen rumusan teknologi air, khususnya melalui sub-segmen perkhidmatan pembinaan.


Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Januari 2026, kumpulan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih keseluruhan sebanyak RM28.70 juta daripada jumlah hasil mencecah RM99.45 juta.

 

Insights Analytics_DagangNews


Sebagai perbandingan, syarikat itu tidak mempunyai angka perbandingan bagi tahun sebelumnya kerana ini merupakan laporan interim ketiga sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 27 Oktober 2025.


"Mengenai prospek masa hadapan, Insights Analytics yakin untuk mengekalkan momentum pertumbuhan melalui fokus strategik terhadap peningkatan keupayaan teknologi maklumat (IT) dalaman," katanya.


Selain itu jelasnya, kumpulan berkenaan masih lagi optimis terhadap potensi perniagaannya dalam integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dan digital berkembar (DT). 


Ia turut menyasarkan untuk memperoleh lebih banyak projek air berkaitan agensi kerajaan, dengan memanfaatkan rekod prestasi serta hubungan sedia ada bersama agensi air utama di Sarawak.


Insights Analytics baru-baru ini ada menerima tuntutan undang-undang daripada Place2Stay Management Sdn Bhd melibatkan baki pembayaran untuk harga belian kod sumber yang berjumlah RM8.48 juta.


Bagaimanapun, kumpulan itu berpendirian yang mereka tidak lagi bertanggungjawab atas baki ansuran tersebut setelah memulangkan hak ke atas tiga kod sumber berkenaan. - DagangNews.com