KUALA LUMPUR 19 Ogos – Penyedia perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineers Berhad mencatatkan prestasi cemerlang bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, dengan pertumbuhan dua digit dalam hasil dan lonjakan tiga digit dalam keuntungan bersih.
Syarikat merekodkan hasil sebanyak RM57.7 juta, meningkat 31.7% berbanding tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh pendapatan lebih tinggi daripada projek pengurusan seperti Metro Baghdad dan Pusat Data KTP di Johor Bahru.
Kumpulan itu turut melaporkan peningkatan kukuh dalam tugasan reka bentuk kejuruteraan, manakala untung bersih melonjak 135% kepada RM6.6 juta, hasil tugasan kontrak bernilai tinggi dan pengurusan kos yang berkesan.
"Setakat ini, kumpulan HSS Engineers telah memperoleh kontrak baharu berjumlah RM201 juta bagi tahun kewangan semasa," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Segmen pengurusan projek kekal sebagai penyumbang terbesar, mencatatkan pendapatan sebanyak RM24.0 juta untuk 2QFY25, naik 26.5% tahun ke tahun (YoY), hasil peranan berterusan dalam projek pengangkutan, pusat data dan pelabuhan.
Segmen reka bentuk kejuruteraan pula mencatat pertumbuhan tertinggi, melonjak 82.0% kepada RM17.9 juta, didorong oleh projek Tuna Tekra, LRT Bayan Lepas, dan Skim Tebatan Banjir Sungai Kelang.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), hasil meningkat 19.8% kepada RM109.3 juta, manakala untung bersih naik 11.1% kepada RM8.0 juta.
Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir Kuna Sittampalam berkata, prestasi kukuh kumpulan mencerminkan kepakaran menyeluruh merentas pelbagai sektor dan geografi.
“Kami melihat momentum kukuh didorong oleh inisiatif infrastruktur kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, projek **MRT3, pelbagai projek tebatan banjir, dan inisiatif besar di Sarawak," katanya.
Ini tambah beliau, termasuk lapangan terbang antarabangsa baharu, pelabuhan laut dalam, serta sistem pengangkutan awam dikenali ART berkuasa hidrogen.
Beliau turut menyatakan bahawa infrastruktur air kini muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama, dengan pelbagai projek rawatan air, empangan, penggantian paip dan pengurangan air tidak berhasil (NRW) sedang dan akan dilaksanakan di seluruh negara.
“Pelarasan tarif air yang diumumkan baru-baru ini turut mengukuhkan prospek sektor ini,” tambahnya.
HSS Engineers turut aktif mengembangkan penawaran dalam sektor digital dan teknologi, termasuk aplikasi dron berkuasa AI untuk sektor pembinaan, inisiatif Digital Twin untuk menara telekomunikasi di Malaysia, Filipina dan Bangladesh, serta sektor minyak sawit.
Dalam sektor infrastruktur digital, kumpulan baru-baru ini berjaya memperoleh satu lagi kontrak perunding pengurusan projek pusat data di Sedenak, Johor, mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem pusat data negara.
Kumpulan itu kini mempunyai buku tempahan kukuh berjumlah RM2.1 bilion, memberikan sehingga lapan tahun keterlihatan pendapatan, selain buku tender sebanyak RM510.0 juta, yang merangkumi peluang dalam sektor rel, air, pelabuhan, pusat data dan projek perundingan antarabangsa.
“Fokus kami ialah kepada pendigitalan, perluasan jejak serantau, serta pengukuhan aliran pendapatan berulang untuk mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” ujar Kuna. - DagangNews.com








