Untung bersih Hextar Global susut 17% pada 2QFY25 akibat permintaan lemah bahan kimia khas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Hextar Global susut 17% pada 2QFY25 akibat permintaan lemah bahan kimia khas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Hextar Global Berhad mencatatkan penurunan untung bersih sebanyak 16.8% kepada RM15.93 juta bagi suku kedua tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25).


Kumpulan tersebut berkata, ia merosot berbanding RM19.16 juta yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu, disebabkan oleh permintaan yang lemah dalam segmen bahan kimia khas.


Prestasi berkenaan tambahnya, adalah sejajar dengan kejatuhan hasil pada suku tahunan sebanyak 16.6% kepada RM177.52 juta daripada kira-kira RM212.96 juta dicatatkan setahun lalu.


"Segmen bahan kimia khas menjadi penyumbang utama kelembapan hasil meskipun ada sokongan daripada penghantaran khas berkaitan minyak dan gas," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia. 


Sebaliknya kata Hextar Global, segmen pertanian menunjukkan sumbangan yang lebih baik dalam suku berkenaan dan meskipun prestasi kewangan lemah, ia tetap mengumumkan dividen interim pertama.


Kumpulan itu menambah, ia masih lagi ditetapkan sebanyak 0.5 sen sesaham, angka sama seperti tahun lalu dengan dividen tersebut dijadualkan untuk dibayar bermula 3 Oktober 2025.


Bagi tempoh enam bulan pertama, untung bersih susut 6% kepada RM29.44 juta, manakala hasil jatuh 6.5% kepada RM416.07 juta, berbanding masing-masing RM31.3 juta dan RM445.23 juta pada tahun lalu.


Mengulas prospek, Hextar Global menjelaskan bahawa pasaran bahan kimia khas masih menunjukkan trend pertumbuhan tidak menentu, dipengaruhi konteks ekonomi global seperti inflasi dan harga tenaga.


“Strategi kami kekal tertumpu kepada inovasi, kelestarian dan pembezaan produk, membolehkan kami menyesuaikan diri dengan perubahan serta meneroka peluang di pasaran serantau terpilih,” katanya.


Dalam segmen pertanian, kumpulan menjangkakan pemulihan secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh faktor pemulihan dalam permintaan dan kestabilan harga komoditi.


Menariknya, segmen buah-buahan yang merangkumi perdagangan dan pengedaran durian telah dikenal pasti sebagai penyumbang pendapatan yang berpotensi mampan bagi kumpulan berkenaan sendiri.


Hextar Global menjangkakan pertumbuhan ketara dalam industri durian Malaysia pada 2025, sejajar dengan peningkatan pengeluaran dan perluasan perjanjian eksport ke pasaran antarabangsa.


Segmen ini menyumbang sebanyak 11.8% daripada hasil separuh pertama pada FY25 dan kira-kira 1.4% kepada keuntungan selepas cukai kumpulan tersebut. - DagangNews.com