KUALA LUMPUR 28 April – Hap Seng Consolidated Berhad (HSCB) mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 23.1% kepada RM500.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Penurunan prestasi berbanding RM650.5 juta pada tahun sebelumnya itu disebabkan jualan hartanah dan tanah yang lebih rendah, serta penggabungan operasi dalam perniagaan perdagangan am dan kuari.
Selain itu menurut kumpulan berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyusutan tersebut turut dipengaruhi volum jualan minyak sawit mentah (MSM) rendah meskipun harga meningkat di pasaran.
"Hasil merosot 9.2% kepada RM5.11 bilion daripada RM5.63 bilion pada FY24, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) turun kepada RM855.4 juta berbanding RM1.11 bilion pada FY24," kata HSCB.
Bagaimanapun kumpulan itu mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak 20 sen sesaham, sekali gus mengekalkan kadar yang sama seperti tahun sebelumnya dengan nisbah pembayaran kira-kira 100%.
Segmen perladangan mencatatkan keuntungan susut 38.9% kepada RM165.4 juta, disebabkan volum jualan yang rendah, akibat hujan kebat, kos buruh yang naik, serta hasil tandan buah segar (TBS) rendah.
Sementara pendapatan segmen hartanah HSCB jatuh 48.6% kepada RM134.8 juta susulan stok rendah di Lembah Klang dan jualan lemah di Sabah, namun segmen hospitaliti menunjukkan pertumbuhan positif.
"Keuntungan operasi segmen pembiayaan kredit pula merosot kepada RM139.5 juta (2024: RM156.5 juta) selaras dengan baki portfolio pinjaman yang lebih rendah," jelas kenyataan kumpulan berkenaan.
Dalam pada itu, segmen automotif dan perdagangan turut menyumbang kepada pendapatan kumpulan tersebut dengan fokus kepada kecemerlangan operasi di tengah-tengah landskap ekonomi mencabar.
Bagi tahun kewangan 2026, HSCB kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik di Timur Tengah yang boleh menjejaskan harga komoditi serta kos input seperti baja.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut menjangkakan segmen hospitaliti akan terus mendapat manfaat daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan peningkatan kemasukan pelancong antarabangsa.
Syarikat komited untuk terus memanfaatkan sinergi antara enam perniagaan teras bagi mengoptimumkan kecekapan operasi dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com








