Untung bersih Guan Huat Seng diyakini cecah RM10.5 juta dalam tempoh 3 tahun – Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Guan Huat Seng diyakini cecah RM10.5 juta dalam tempoh 3 tahun – Malacca Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 JanGuan Huat Seng Holdings Berhad diyakini mampu mencatat keuntungan bersih sehingga RM10.5 juta dalam tempoh tiga tahun selepas penyenaraiannya pada 22 Januari 2026.


Menurut Malacca Securities, perkembangan positif tersebut disokong oleh faktor pertumbuhan organik yang stabil, pengembangan margin dan manfaat pengukuhan ringgit berbanding mata wang asing.


Firma penyelidikan itu mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 13.3% dengan untung bersih dianggarkan RM8.8 juta, RM9.7 juta dan RM10.5 juta masing-masing pada 2026, 2027 dan 2028.


"Prestasi ringgit yang kukuh dijangka memberi kelebihan kos kepada Guan Huat Seng memandangkan kira-kira 40% pembelian inventori diperoleh dari pasaran luar negara," katanya dalam nota kajian.


Produk dibeli dalam mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat (AS), dolar Singapura, dolar Hong Kong, dolar Australia dan yen Jepun, yang membantu mengekalkan margin keuntungan mampan.


Selain itu jelas Malacca Securities, margin keuntungan kasar (GPM) kumpulan naik ketara daripada 16.1% pada FY22 kepada 25.1% pada FY25, disokong oleh strategi pengurusan kos yang lebih berkesan.


Keadaan tersebut turut dibantu kepelbagaian pembekal serta skala produk yang besar, namun margin bersih FY25 kekal mendatar berikutan kos sekali sahaja berkaitan penyenaraian di Pasaran ACE.


"Bagi menyokong pertumbuhan permintaan, kira-kira 70% atau RM21 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) Guan Huat Seng, akan diperuntukkan untuk pengembangan fasiliti operasi," jelasnya.


Ketika ini tambah Malacca Securities, kadar penggunaan kapasiti pembuatan berada pada paras tinggi antara 74% hingga 96%, dan ia menetapkan nilai saksama harga sasaran (TP) pada 29 sen sesaham.


Unjuran tersebut jelasnya, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada pertengahan tempoh FY26 iaitu kira-kira 1.95 sen. 


Di samping itu, Guan Huat Seng juga katanya, menyasarkan kadar pembayaran dividen sehingga 30% daripada keuntungan bersih, bersamaan hasil dividen 2.2% hingga 2.7% bagi FY26 hingga FY28.


"Bagaimanapun, kami mengingatkan isu persaingan sengit industri pengedaran makanan dan pulangan perlahan pengembangan runcit boleh menjadi risiko jangka sederhana," katanya. - DagangNews.com