KUALA LUMPUR 10 April – Genting Plantations Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM368.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, naik 10% berbanding RM335.0 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan prestasi berkenaan jelas kumpulan tersebut, didorong terutamanya oleh faktor jualan yang lebih tinggi daripada sektor hartanah serta keuntungan daripada aktiviti pelupusan tanah.
Selain itu jelasnya, pertumbuhan kali ini disokong oleh harga isirung sawit (PK) yang lebih kukuh dan realisasi keuntungan daripada inventori yang dibawa ke hadapan dalam bahagian perladangan.
"Hasil kumpulan melonjak kepada RM3.37 bilion berbanding RM2.94 bilion pada FY24, disumbangkan sektor hartanah dan volum jualan bahagian pembuatan hiliran lebih baik," kata Genting Plantations.
Dalam maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras meningkat kepada RM942.2 juta berbanding RM870.3 juta pada FY24.
Prestasi sektor hartanah mencatatkan EBITDA lebih tinggi sejajar pertumbuhan hasil dan keuntungan penjualan tanah, termasuk kejayaan projek U.Reka di Genting Indahpura dan Genting Industrial City.
Sementara itu dalam sektor perladangan jelas Genting Plantations, harga purata minyak sawit mentah (MSM) adalah RM3,853 setiap tan metrik (mt), manakala harga PK meningkat ketara kepada RM3,313/mt.
"Bagaimanapun, pengeluaran tandan buah segar (TBS) adalah sedikit menyusut kepada 2.01 juta mt akibat cuaca tidak menentu dan aktiviti penanaman semula di Malaysia," tambah kumpulan berkenaan.
Lembaga Pengarah mengisytiharkan jumlah dividen 28.0 sen sesaham, meliputi dividen interim (10.0 sen), dividen akhir (4.0 sen), dan dividen khas (14.0 sen), dengan nisbah pembayaran ialah 71%,.
Dalam perkembangan lain, Genting Plantations terus memperkukuh kedudukannya di pasaran Indonesia melalui pemerolehan 152 hektar tanah di Sentul City, Bogor, bagi mengembangkan sayap hartanahnya.
Bahagian teknologi pertanian juga menunjukkan prospek positif dengan pengurangan kerugian hasil sumbangan anak syarikat pengeluar benih kelapa sawit yang baru diambil alih di Indonesia.
"Melangkah ke hadapan, kumpulan ini menjangkakan harga MSM terus kekal stabil dalam jangka masa pendek disokong oleh faktor permintaan yang tinggi setiap kali musim perayaan utama," katanya.
Sementara itu ujar Genting Plantations, prestasi sektor perladangan pula dijangka mendapat manfaat daripada hasil tuaian yang lebih baik pada tahun 2026. - DagangNews.com








