Untung bersih Focus Point naik 5.5% kepada RM35 juta bagi FY25 didorong pertumbuhan jualan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Focus Point naik 5.5% kepada RM35 juta bagi FY25 didorong pertumbuhan jualan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 April – Focus Point Holdings Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kumpulan sebanyak 5.5% kepada RM35.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).


Pencapaian memberangsangkan ini didorong pertumbuhan luar biasa dalam segmen optikal dan penjagaan penglihatan yang mencatatkan jualan runcit dan korporat semakin teguh pada tahun berkenaan.


Syarikat peruncit optikal terbesar itu turut melakar sejarah apabila meraih hasil tertinggi dalam sejarah kumpulan tersebut berjumlah RM311.4 juta, naik 6.4% berbanding RM292.5 juta bagi FY24.


"Ini merupakan tahun keempat berturut-turut Focus Point mencatatkan pertumbuhan hasil, malah buat kali pertama berjaya melepasi sasaran RM300 juta," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Segmen optikal ujar syarikat berkenaan, terus menjadi nadi utama perniagaan dengan sumbangan hasil mencecah sebanyak RM263.2 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) pula kira-kira RM53.2 juta.


Namun segmen makanan dan minuman (F&B) yang mengendalikan jenama Komugi mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.3 juta, berpunca daripada tekanan kos dan pasaran yang semakin kompetitif.


Berdasarkan situasi itu, Focus Point menambah baik dasar dividen dengan agihan sekurang-kurangnya 50% daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham yang akan dibayar secara suku tahunan.


"Selain itu, 2025 menjadi tahun yang menyaksikan pembukaan cawangan ke-200, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan syarikat berkenaan di setiap negeri di seluruh pasaran Malaysia," tambahnya.


Kumpulan berkenaan jelasnya, turut mengekalkan kedudukan aliran tunai yang cukup sihat dengan peningkatan tunai bersih daripada aktiviti operasi kira-kira 26.1% kepada sebanyak RM92.1 juta.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Liaw Choon Liang berkata, prestasi tahun berkenaan adalah satu pencapaian yang mendefinisikan semula hala tuju Focus Point selepas ini.


"Dengan rekod hasil dan keuntungan terbaik, kami optimis melangkah ke hadapan untuk terus menerajui pasaran penjagaan penglihatan di samping memanfaatkan inovasi," katanya. - DagangNews.com