Untung bersih F&N susut 5.4% pada FY25 akibat kadar cukai lebih tinggi, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih F&N susut 5.4% pada FY25 akibat kadar cukai lebih tinggi, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 NovFraser & Neave Holdings Berhad (F&N) mencatatkan penurunan 5.4% untung bersih teras kepada RM515.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25).


Menurut MBSB Research, ia disebabkan kadar cukai efektif lebih tinggi sebanyak 29.6%berbanding 21.9% pada tahun sebelumnya, berpunca daripada tamat pengecualian cukai anak syarikat di Thailand.


Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, ketiadaan pengiktirafan aset cukai tertunda bagi ladang tenusu di Gemas juga memberi kesan, meskipun prestasi operasi sebenar ada peningkatan.


"Kami namun menegaskan prestasi keseluruhan F&N masih kukuh dan dalam jangkaan, dipacu pengurusan kos berhemah, penurunan harga input serta permintaan domestik yang stabil," katanya dalam nota.


Justeru, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM32.08 sesaham, yang berasaskan kadar 20 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan pada FY26.


Bagi suku keempat FY25, ia merekodkan hasil sebanyak RM1.23 bilion, iaitu susut 5.1% suku ke suku(QoQ) dan merosot 5.0% tahun ke tahun (YoY) dengan untung bersih teras sebanyak RM119.7 juta.


Firma itu menambah, situasi itu menunjukkan peningkatan 21.0% QoQ atau 10.5% YoY dan secara keseluruhan, keputusan ini memenuhi 94% unjuran penganalisis dan 89% daripada jangkaan pasaran.


"F&N turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 35.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen setahun penuh kepada 65.0 sen sesaham, meningkat daripada 63.0 sen pada FY24," kata MBSB Research.


Bagaimanapun katanya, pendapatan tahunan sebanyak RM5.20 bilion (-0.9% YoY) sedikit terjejas oleh prestasi lemah segmen makanan dan minuman (F&B) rantau Indochina  yang merosot 2.6% YoY.


Ia akibat kelembapan pelancongan, banjir di utara Thailand serta gangguan eksport ke Kemboja dan Myanmar, tetapi segmen itu di Malaysia naik 0.4% YoY, dipacu permintaan domestik yang stabil.


Pelaksanaan strategi pemasaran berkesan dengan portfolio perniagaan yang pelbagai dan disiplin kos yang ketat juga mengekalkan kestabilan hasil walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.


"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap prospek sederhana F&N, didorong asas kewangan kukuh, pengembangan eksport, dan ladang tenusu integrasi di Gemas dikomersialkan pada 1QFY26," katanya.


MBSB Research menambah, projek itu bakal mengukuh rantaian bekalan domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan tenusu yang sekali gus memanfaatkan syarikat.


Dalam jangka pendek, permintaan domestik dijangka stabil, disokong langkah fiskal kerajaan seperti bantuan tunai, manakala persekitaran kos input rendah terus membantu margin untung. - DagangNews.com