KUALA LUMPUR 26 Ogos – FM Global Logistics Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25) sebanyak RM8.1 juta, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia merupakan peningkatan 21.0% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh persekitaran harga adalah lebih baik serta campuran produk yang menguntungkan.
Pencapaian itu menjadikan keuntungan bersih FY25 mencecah RM31.1 juta, atau 96.6% daripada unjuran tahun penuh firma itu, sekali gus menunjukkan keputusan adalah seiring dengan jangkaannya.
“Kami mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘neutral’ terhadap saham FM Global dengan harga sasaran tidak berubah pada 56 sen, berdasarkan penilaian PE, menurut PublicInvest dalam notanya.
Pendapatan FM Global bagi 4QFY25 tambah firma tersebut, meningkat secara marginal sebanyak 4.0% tahun ke tahun (YoY) kepada RM230.5 juta dengan kenaikan dipacu oleh semua segmen perniagaan
Bagaimanapun, segmen logistik pihak ketiga (3PL), pergudangan dan pengedaran, adalah sebaliknya apabila terkesan oleh faktor keadaan ekonomi global yang mencabar pada suku berkenaan.
Antara yang menonjol ialah segmen pengangkutan laut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 5.6% YoY kepada RM131.0 juta, meskipun jumlah muatan menurun sedikit sebanyak 0.3% YoY kepada 30,206 TEU.
Untung bersih lebih tinggi turut disumbangkan oleh pengembangan margin keuntungan, hasil daripada harga lebih baik, gabungan produk yang lebih menguntungkan, serta kadar cukai efektif yang rendah.
"Margin keuntungan selepas cukai (PAT margin) didapati meningkat kepada sebanyak 3.5% berbanding kira-kira 3.0% dalam 4QFY24," kata firma penyelidikan tersebut.
FM Global turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen pada FY25 sebanyak 4.5 sen, meningkat daripada hanya 4.0 sen pada FY24.
PublicInvest menjelaskan bahawa prospek pasaran logistik dalam jangka pendek masih dilihat sebagai bercampur-campur, dengan permintaan import Amerika Syarikat (AS) dijangka menurun.
Keadaan tersebut disebabkan oleh situasi ketegangan geopolitik, halangan perdagangan yang meningkat dan ketidaktentuan dasar tarif negara berkenaan.
Bagaimanapun katanya, bagi jangka masa panjang, pasaran logistik global dijangka terus berkembang secara mampan dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.5%,
"Situasi kali ini turut didorong oleh peningkatan perdagangan antarabangsa dan e-dagang khususnya di benua Asia dan negara-negara Global Selatan," kata firma berkenaan.
Perkembangan ini turut akan disokong oleh kemajuan teknologi seperti AI, IoT dan blockchain, serta penekanan terhadap rumusan logistik yang lebih lestari dan berdaya tahan. - DagangNews.com








