Untung bersih EG Industries pada FY25 naik 74% kepada RM86.5 juta, rekod tertinggi dalam sejarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih EG Industries pada FY25 naik 74% kepada RM86.5 juta, rekod tertinggi dalam sejarah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 OgosEG Industries Berhad, mencatat lonjakan kira-kira 74% dalam keuntungan bersih kepada sebanyak RM86.5 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir 30 Jun 2025 (FY25).


Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu berkata, pada tahun sebelumnya ia mencatatkan RM49.7 juta, sekali gus mencipta rekod paling tinggi dalam sejarah syarikat tersebut sendiri.


Prestasi cemerlang itu didorong oleh peningkatan permintaan produk berkaitan akses tanpa wayar 5G, fotonik, suis rangkaian dan elektronik pengguna, selain campuran produk yang lebih menguntungkan.


Pendapatan tahunan syarikat meningkat 22.4% kepada RM1.40 bilion berbanding RM1.14 bilion pada FY24, dijana jualan kukuh oleh pelanggan utama dalam segmen 5G dan teknologi komunikasi terkini.


Untuk suku keempat (4QFY25), keuntungan bersih melonjak 52.6% kepada RM24.7 juta daripada RM16.2 juta tahun lalu, manakala hasil naik 20.5% kepada RM417.9 juta berbanding RM346.9 juta sebelumnya.


"Prestasi cemerlang ini turut disokong keuntungan pertukaran mata wang asing meskipun diimbangi perbelanjaan sekali sahaja berjumlah RM11.1 juta," maklum EG Industries kepada Bursa Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Alex Kang berkata, kejayaan FY25 turut diperkukuh dengan permulaan operasi Kilang Pintar 4.0 di Batu Kawan, Pulau Pinang.


Premis baharu tersebut sudah memulakan pengeluaran besar-besaran pada Jun 2025 dan dengan kos pra-operasi kini selesai, Batu Kawan katanya, bakal menjadi enjin pertumbuhan baharu syarikat.


"Ia membolehkan kami menghasilkan komponen lebih canggih dengan kecekapan dan skala lebih tinggi,” katanya. Syarikat turut mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham.


EG Industries menegaskan komitmen pertumbuhan mampan dan pelaburan jangka panjang, terutama dalam automasi, pembuatan pintar dan teknologi masa depan bagi memenuhi permintaan global. - DagangNews.com