Untung bersih Dutch Lady Milk pada 4QFY24 naik 35% kepada RM30.73 juta, dipacu penurunan drastik kos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Dutch Lady Milk pada 4QFY24 naik 35% kepada RM30.73 juta, dipacu penurunan drastik kos

Gambar AZRUL EDHAM/NST
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Feb — Dutch Lady Milk Industries Berhad mencatatkan peningkatan 34.63 peratus dalam keuntungan bersih bagi suku keempat, yang turut didorong oleh faktor lonjakan sebanyak 57.9 peratus dalam keuntungan operasi syarikat.
 

Menerusi makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk tenusu itu juga dibantu oleh penurunan mendadak dalam kos berkaitan yang dicatatkan susulan langkah perpindahannya ke kemudahan pengeluaran baharu pada suku tersebut.
 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY2024), keuntungan bersih meningkat kepada RM30.73 juta daripada RM22.83 juta setahun sebelumnya, malahan keuntungan operasinya juga meningkat kepada RM42.9 juta daripada RM27.1 juta.
 

Pada suku tersebut juga, susut nilai yang dipercepatkan dan kos yang berkaitan perpindahan operasi pengeluaran produknya ke premis baharu didapati telah menurun kepada RM1.4 juta daripada sebanyak RM31.9 juta setahun sebelumnya.
 

“Pemindahan ke tapak baharu yang tercanggih di DLMI@Enstek dibuat setelah ia berjaya disiapkan pada 3QFY2024, dengan susut nilai aset dipercepatkan daripada kemudahan lama di Petaling Jaya yang ditutup pada akhir 2Q2024,” katanya.
 

Hab pembuatan yang bernilai sebanyak RM540 juta di Bandar Enstek, Negeri Sembilan itu telah dirasmikan pada Mei 2024 selepas 61 tahun beroperasi di fasiliti lama yang terletak di bandar raya Petaling Jaya, Selangor tersebut sejak 1963.
 

Bagaimanapun keuntungan operasi larasan merosot 25 peratus tahun ke tahun kepada RM44.3 juta, didorong oleh variasi dalam campuran produk dijual serta pelaburan pengiklanan dan promosi lebih tinggi bagi menyokong pelancaran produk baharu.
 

Hasil suku tahunan Dutch Lady Milk meningkat 0.4 peratus kepada RM365.97 juta daripada RM364.53 juta pada 4QFY2023, dipacu oleh jualan lebih tinggi bagi produk susu UHT terasnya dan pek Dutch Lady 'Sip & Seal' yang baru dilancarkan.
 

Untuk FY2024 penuh, keuntungan bersih syarikat berkenaan meningkat 33.5% kepada RM96.65 juta daripada RM72.39 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatannya meningkat kepada RM1.45 bilion daripada RM1.44 bilion.
 

Memandang ke hadapan, Dutch Lady Milk berkata landskap perniagaan Malaysia kekal mencabar di tengah-tengah ketegangan geopolitik, turun naik mata wang, harga komoditi yang tidak menentu dan ketidaktentuan peraturan.
 

Kekangan bekalan tenusu boleh meningkatkan kos manakala perubahan cukai dan peraturan akan menambah perbelanjaan input. Ringgit juga kekal tidak menentu ekoran situasi global dan domestik namun syarikat terus memberi tumpuan kepada daya saing kos.
 

Pengarah Urusannya, Ramjeet Kaur Virik berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat itu akan terus menumpukan pada mengoptimumkan portfolio produk dan kecekapan operasi sambil mengekalkan kedudukan peneraju pasarannya.
 

“Walaupun kami masih optimis dengan berhati-hati, kami menantikan perjalanan ini dengan peluang baharu yang dirangsang oleh peningkatan kapasiti dan ruang untuk inovasi, membolehkan pertumbuhan Dutch Lady,” tambahnya.
 

Tiada dividen diisytiharkan untuk tempoh suku tersebut. Saham Dutch Lady ditutup naik sebanyak 20 sen atau 0.66 peratus kepada RM30.40 pada lewat Khamis, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.93 bilion. - DagangNews.com