KUALA LUMPUR 13 Nov - Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mencatat untung bersih RM32.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, naik 86.1% berbanding RM17.2 juta pada 3QFY24.
Menurut kumpulan tersebut, lonjakan besar berkenaan hasil daripada permintaan yang amat kukuh bagi rangkaian produk susu cair utama keluarannya dan peningkatan penguasaan pasaran pada tempoh itu.
Hasil pula RM374.5 juta, naik 5.4% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh pertumbuhan dalam saluran profesional dan sumbangan produk baharu dan keuntungan operasi meningkat 80.4% kepada RM39.4 juta.
"Perkembangan ini berikutan penurunan kos peralihan daripada RM13.2 juta pada Q3FY24 kepada RM1.7 juta selepas penutupan kilang di Petaling Jaya dan penyiapan fasiliti Enstek," kata kenyataan DLMI.
Prestasi kukuh itu juga didorong pertumbuhan pasaran positif dalam segmen Infant & Toddler Formula (IFT) dan Ready-to-Drink (RTD), hasil kejayaan kempen 'Otak Pintar' dan 'Sarapan Penuh Bernutrisi'.
Sementara itu, Pengarah Urusan DLMI, Veronika Utami ketika mengulas lanjut laporan kewangan 3QFY25 berkata, transformasi operasi syarikat tersebut pada 2025 meletakkannya dalam kedudukan kukuh.
Keadaan positif berkenaan menyaksikan kumpulan memacu pertumbuhan secara mampan, sambil berupaya pula memperkenalkan banyak inovasi produk seperti Dutch Lady Omega 3-6 untuk golongan kanak-kanak.
"DLMI turut menegaskan fokus berterusan pada kecekapan operasi, pengoptimuman produk dan pengurusan kos yang berdisiplin, sejajar dengan strategi teras syarikat," kata beliau. - DagangNews.com








