Untung bersih Deleum naik kepada RM32 juta pada 1H25, dipacu segmen perkhidmatan medan minyak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Deleum naik kepada RM32 juta pada 1H25, dipacu segmen perkhidmatan medan minyak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Deleum Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM32.0 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2025 (1H25), meningkat daripada RM31.6 juta dalam tempoh sama 2024.


Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) tempatan itu berkata, pertambahan tersebut disokong oleh prestasi kukuh perniagaan terutamanya dalam segmen perkhidmatan bersepadu medan minyak (OIS).


Dalam tempoh yang sama, untung sebelum cukai (PBT) meningkat 17.8% kepada RM64.5 juta, berbanding RM54.8 juta pada 1H24 dengan hasil kumpulan berkenaan pula naik 7.5% kepada RM416.3 juta.


"Pertumbuhan ini dijana sumbangan tinggi projek-projek penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta bahan kimia khusus di bawah segmen OIS," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Tambah Deleum, segmen tenaga dan jentera (P&M) pula kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kumpulan tersebut, namun segmen OIS terus mempamerkan trajektori perkembangan yang cukup positif. 


Antara pencapaian utama kumpulan berkenaan pada tempoh ini ialah penyempurnaan pengambilalihan syarikat PT OSA Industries Indonesia (OSAII), yang telah mula menyumbang kepada pendapatan kukuh.


Bagi suku kedua 2025 (2QFY25), Deleum mencatatkan hasil RM236.9 juta, meningkat daripada RM225.9 juta dalam tempoh sama 2024, tetapi PBT pula merekodkan penyusutan sebanyak 3.4% kepada RM36.3 juta.


"Begitu juga keuntungan bersih pada tiga bulan itu yang turun 12.5% kepada RM19.6 juta berbanding RM22.4 juta setahun lalu, disebabkan oleh sumbangan lebih rendah menerusi segmen P&M," katanya.


Segmen P&M mencatatkan penurunan berikutan pengurangan jualan enjin gantian dan pendapatan komisen dengan hasil pada 2QFY25 susut 6.9% kepada RM164.5 juta manakala PBT susut 8.6% kepada RM27.9 juta.


Bagaimanapun menurut Deleum, bagi 1H25, hasil segmen tersebut berjumlah RM297.1 juta dengan PBT kekal kukuh kepada sebanyak RM56.4 juta, meningkat berbanding kira-kira RM52.4 juta pada tahun lalu.


Setakat 30 Jun 2025, kumpulan O&G ini mengekalkan kedudukan tunai bersih yang kukuh dengan baki bank sebanyak RM181.3 juta, dana pelaburan RM58.8 juta dan pinjaman minimum kira-kira RM41.5 juta.


"Ekuiti pemegang saham pula RM473.8 juta, berbanding RM463.0 juta pada akhir 2024 dan buku tempahan semasa ialah RM1.5 bilion, memberi kepastian aliran hasil dan prestasi masa depan," katanya. - DagangNews.com