Untung bersih Critical Holdings pada 4QFY25 jatuh 52%, Phillip Capital unjur prospek FY26 masih kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Critical Holdings pada 4QFY25 jatuh 52%, Phillip Capital unjur prospek FY26 masih kukuh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 OgosCritical Holdings Berhad mencatatkan penurunan ketara keuntungan bersih bagi suku keempat tahun kewangan 2025 kepada RM7.2 juta, iaitu susut 52% berbanding tempoh sama 2024.


Phillip Capital berkata, kemerosotan tersebut juga adalah 29% lebih rendah berbanding pada suku yang sebelumnya dan berpunca daripada beberapa faktor yang telah menjejaskan prestasi pertumbuhan.


Firma penyelidikan itu menyatakan antara sebabnya ialah ketidakpadanan masa antara pengiktirafan kos projek baharu dan hasil yang hanya akan mula dicatatkan dalam tahun kewangan berikutnya (FY26).


"Walaupun keuntungan dilihat mengecil, pendapatan syarikat sebenarnya terus mencatat pertumbuhan kukuh, meningkat 23% tahun ke tahun (YoY) kepada RM329 juta bagi FY25," katanya dalam nota kajian.


Keadaan itu disokong lonjakan dalam buku tempahan dan bagi suku keempat sahaja, pendapatan mencecah paras tertinggi RM110 juta, naik 13% suku ke suku (QoQ) hasil pengebilan projek yang lebih pantas.


Bagaimanapun tambah Phillip Capital, margin perolehan kasar didapati menyusut sebanyak 4.6 mata peratusan, dan turut menyumbang kepada prestasi keuntungan yang lebih lemah pada suku tersebut.


Ia berkata, meskipun prestasi keuntungan menyusut, kedudukan tunai bersih syarikat itu bertambah kukuh dengan peningkatan 63% kepada RM84.2 juta, berbanding RM52 juta pada tahun sebelumnya.


"Prospek pendapatan Critical Holdings namun kekal positif berikutan kejayaan meraih kontrak baharu bernilai RM378 juta bagi FY26, kebanyakan dalam sektor semikonduktor yang semakin rancak," katanya.


Setakat Jun 2025, baki buku tempahan berkurangan kepada RM149 juta, disebabkan oleh pengiktirafan pendapatan yang dipercepatkan, tetapi kata firma itu, potensi pengisian semula masih kekal tinggi.


Tambah Phillip Capital, perkembangan positif tersebut disokong oleh buku tender aktif yang bernilai RM800 juta, merangkumi sebanyak 70% projek pusat data dan baki 30% meliputi projek semikonduktor.


Firma itu menjangkakan nisbah agihan tender akan berubah kepada 50:50 menjelang akhir tahun, selari pelancaran banyak projek berkaitan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam industri semikonduktor.


"Selain itu, tender pusat data baharu yang bernilai RM500 juta dijangka dianugerahkan tidak lama lagi, sekali gus menambah keterlihatan kepada aliran projek masa depan kumpulan ini," katanya.


Secara umum, meskipun prestasi FY25 dilihat mengecewakan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Critical Holdings dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM1.62 sesaham.


Selain itu, Phillip Capital turut memperkenalkan unjuran pendapatan untuk FY28 yang dijangka meningkat 10% YoY, disokong oleh faktor pengembangan dalam sektor teknologi dan pusat data.


Bagaimanapun katanya, risiko yang perlu diperhatikan termasuk kelewatan atau kegagalan memperoleh kontrak baharu seperti dirancang serta kemungkinan berlakunya lebihan kos projek. - DagangNews.com